Susunan Michelle Gun


Siapa sangka bintang siri filem Divergent, Shailene Woodley pernah ditawarkan watak heroin filem adaptasi novel Fifty Shades of Grey yang mencetuskan kontroversi hebat di seluruh dunia tahun lalu.

Woodley dan pelakon siri televisyen popular Game of Thrones, Emilia Clarke antara calon bagi watak Anastasia Steele yang kemudian dilakonkan oleh Dakota Johnson.

Biarpun pernah membaca novel Fifty Shades of Grey, Woodley mendedahkan terpaksa menolak tawaran itu kerana kurang yakin terhadap kejayaan filem itu.

“Saya sudah membaca semua siri novel itu. Pernah terlintas dalam fikiran jika ada produksi mengangkat naskhah ini menjadi filem, mereka memang hebat,” katanya.

Pada masa sama, pelakon berusia 24 tahun itu bimbang sukar memberi komitmen sepenuhnya dalam filem itu kerana sibuk dengan penggambaran siri Divergent.

“Saya sedar memang mustahil untuk menguruskan kerjaya dengan dua francais filem pada satu masa dan melihat ia tidak berbaloi,” katanya.

Dalam Divergent, Woodley berlakon sebagai Beatris Prior, gadis yang tabah dan berani. Jadi agak sukar untuk membayangkan pelakon itu membawa watak seorang yang pemalu.

Sekuel ketiga Divergent iaitu Allegiant, filem adaptasi novel nukilan Veronica Roth itu bakal menemui peminat di negara ini pada Mac depan.

Mengenai perkembangan terbaru karier lakonan Woodley, selebriti itu bakal kembali dalam siri televisyen HBO, Big Little Lies.

Kali ini, pelakon itu memegang watak sebagai ibu tunggal muda dan akan bergandingan dengan bintang hebat Hollywood Reese Witherspoon dan Nicole Kidman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 7:39 AM