Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) Hashim Adnan semalam membantah sebarang usaha menaikkan harga tambang bas sekolah berikutan boleh membebankan ibu bapa.

Menurut Hashim, pengusaha tidak mempunyai alasan kukuh untuk menaikkan tambang bagi sesi persekolahan 2015 kerana harga diesel sudah pun turun.

“Sebelum ini, pengusaha memang memohon kenaikan tambang bas sekolah kerana faktor harga diesel yang meningkat.

“Bagaimanapun alasan itu sudah tidak munasabah untuk digunakan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Jelas Hashim, beliau faham sekiranya pengusaha mengeluh kerana terpaksa menanggung beban kos operasi dan alat ganti, namun perkara itu tidak wajar dijadikan alasan untuk menaikkan tambang sekitar 20 hingga 30 peratus.

“Kalau diikutkan, memang tak patut isu ini timbul lagi. Tapi jika pengusaha mendakwa terbeban dengan kos pengendalian, eloklah perkara ini dibincangkan secara saksama.

“Sekali pun perlu naik (harga tambang), janganlah sampai mencecah 20 peratus...mungkin pengusaha boleh pertimbangkan kenaikan dibawah 10 peratus saja.

“Lagipun rakyat hari ini cukup terbeban dengan kenaikan kos hidup,” katanya.

Mengenai desakan pengusaha supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menetapkan harga siling lebih tinggi, Hashim berkata, langkah itu juga tidak perlu.

“Memadai jika kerajaan perkenalkan harga yang munasabah,” katanya.

Menyentuh isu yuran dan bayaran tambahan bagi anak-anak mangsa banjir yang akan memulakan persekolahan minggu depan, Hashim mencadangkan supaya kelompok itu diberi pengecualian.

“Bagi mangsa banjir di pantai timur umpamanya, mereka sudah berdepan kesukaran besar apabila rumah dan harta benda dihanyutkan banjir.

“Jadi tidak wajarlah sekiranya pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masih menuntut bayaran tambahan atau yuran,” katanya.

Hashim berkata, PIBG sekolah mungkin boleh mengusahakan bantuan berkaitan untuk kelompok mangsa banjir termasuk alat tulis, pakaian dan beg sekolah.

Semalam, Presiden Persatuan Pemandu dan Pengusaha Bas Sekolah Lembah Klang dan Kuala Lumpur Ahmad Fauzi Murad berkata, pihaknya mungkin mendesak SPAD menetapkan harga siling bagi tambang bas sekolah sekiranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) gagal menangani isu subsidi diesel.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 7:15 AM