Siti A'isyah Sukaimi


Penjawat awam di seluruh negara akan menikmati bayaran khas RM1,000 esok, manakala baki bayaran RM500 akan diterima pada 7 Jun depan bagi sambutan Aidilfitri.

Selain itu, pesara kerajaan yang menerima pencen akan turut menikmati bayaran khas RM500 esok manakala RM250 untuk bayaran khas Aidilfitri akan diterima pada 7 Jun depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, maklumat pembayaran dimaklumkan kepada penjawat awam melalui pekeliling perkhidmatan dikeluarkan pihaknya.

“Menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2017, ia bertujuan melaksanakan keputusan kerajaan memberi Bayaran Khas Tahun 2017 kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan.

“Pada masa sama, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2017 Bayaran Khas Aidilfitri Tahun 2018, bertujuan melaksanakan keputusan kerajaan memberi Bayaran Khas Aidilfitri Tahun 2018 kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan untuk hari raya Aidilfitri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemberian bayaran khas berkenaan adalah keprihatinan kerajaan menghargai kesetiaan penjawat awam dalam mendokong kemajuan negara serta melaksanakan sistem penyampaian perkhidmatan dengan cekap dan berkesan kepada rakyat.

Kedua-dua pekeliling perkhidmatan bagi bayaran khas itu dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 13 Disember lalu serta berkuat kuasa mulai tarikh ia dikeluarkan.

Pada 27 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bayaran khas kepada penjawat awam RM1,500 dan ia disalurkan dua kali iaitu RM1,000 pada awal Januari dan RM500 lagi menjelang sambutan Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 11:27 PM