STEPHANIE Yang.
STEPHANIE Yang.
STEPHANIE bekerjasama dengan doktor, ahli farmasi dan pembantu makmal menghasilkan ubat sesuai dengan pesakit.
STEPHANIE bekerjasama dengan doktor, ahli farmasi dan pembantu makmal menghasilkan ubat sesuai dengan pesakit.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Masih muda, berdedikasi dan seorang ahli perniagaan berjaya, Stephanie Yang, 31, bukan calang-calang wanita sebaliknya ketekunan serta ketelitiannya dalam melakukan sesuatu perkara, membuatkannya terus berusaha memajukan diri.

Pemegang Diploma Profesional jurusan Diet dan Nutrisi dari Kolej Oxford, United Kingdom ini juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Pengurusan dari Universiti Monash, Australia.

Sepanjang 12 tahun belajar dan tinggal di Australia, Stephanie juga aktif dan komited membantu komuniti autisme selain meluaskan kemahiran kaunseling yang ada pada dirinya melalui Persatuan Intervensi Tingkah Laku Autisme di Australia.

Bantuan yang diberikannya dari segi nasihat dan bimbingan kepada ibu bapa kanak-kanak autisme, selain membantu mereka mendapatkan ubatan serta suplemen yang sukar diperoleh dan dihasilkan mengikut spesifikasi unik masing-masing.

Dedikasinya terhadap komuniti berkenaan banyak membantu membentuk karakter dirinya serta membantunya fokus dari segi profesional, sebelum pulang ke Malaysia pada Jun 2011.

Hasil sumbangannya yang banyak dalam masyarakat autisme di Australia selain kejayaannya sebagai usahawan dalam bidang penghasilan ubatan, menyaksikan Stephanie menerima anugerah berprestij, Anugerah Usahawan Muda oleh Suruhanjaya Tinggi Australia pada Disember tahun lalu.

Selepas pulang dari negara terbabit, Stephanie kemudian mengasaskan Accent Wellness Compounding Pharmacy (AWCP), yang memberi fokus kepada penghasilan ubatan mengikut spesifikasi dan keperluan teliti individu, berbeza dengan ubatan sudah tersedia dijual di pasaran.

Menurut Stephanie, pada asalnya dia bercita-cita menyambung dalam jurusan seni bina dan mahu bergelar arkitek, namun dia mengambil keputusan menukar ke bidang psikologi, apatah lagi ia mendapat sokongan kuat kedua-dua ibu bapanya.

“Saya menubuhkan AWCP kerana beberapa faktor antaranya rakyat Malaysia kurang tahu mengenai wujudnya keperluan ubatan yang dihasilkan mengikut keperluan dan spesifikasi individu.

“Ini kerana di negara ini kita tidak tahu di mana dan bagaimana untuk mendapatkan ubatan sesuai dengan diri masing-masing, tetapi di luar negara termasuk di Australia, ramai yang memerlukan ubatan mengikut keperluan diri mereka.

“Adakalanya seseorang itu alah kepada bahan pengawet yang ada dalam ubatan biasa dijual di pasaran, tetapi kami boleh menghasilkan ubat yang sama tanpa memasukkan bahan pengawet terbabit, sesuai untuk individu berkenaan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ketika farmasinya mula beroperasi di Menara See Hoy Chan, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, ia lebih banyak dikunjungi oleh golongan ekspatriat yang lebih mengetahui mengenai ubatan dibuat mengikut spesifikasi, apatah lagi kedudukan farmasinya berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat.

Menurut Stephanie, disebabkan kurang dikenali di negara ini, ia antara penguat semangat kepadanya untuk berusaha memperkenalkan perkhidmatan terbabit kepada masyarakat selain meyakinkan doktor di negara ini supaya mereka dapat bekerjasama menyediakan rawatan bersesuaian dengan keadaan pesakit.

Sebelum menghasilkan sebarang ubat untuk pesakit, mereka dirujuk terlebih dulu kepada doktor dan sampel darah akan diuji bagi memastikan keperluan tepat untuk merawat mereka dengan efektif. Selepas itu, baru jenis ubat tepat akan dihasilkan di AWCP oleh sekumpulan ahli farmasi dan pembantu makmal yang bekerja untuk Stephanie.

Lebih menarik, kini AWCP menjalinkan kerjasama rapat dengan doktor seluruh negara dan makmal penghasilan ubatan itu berpusat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Subang Jaya, Selangor.

Di negara ini, Stephanie meneruskan keprihatinannya terhadap komuniti autisme dengan membantu ibu bapa mendapatkan ubat sesuai mengikut keperluan anak masing-masing, demi memastikan anak mereka dapat mencapai potensi terbaik diri.

“Setiap dua bulan, saya menyertai persidangan berkaitan ubatan dihasilkan mengikut keperluan pesakit di luar negara kerana bidang ini sangat pantas berkembang, untuk mencari penyelesaian kepada masalah perubatan pesakit.

“Dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai masalah autisme di negara ini juga, saya turut mengambil inisiatif menganjurkan program latihan dengan pakar dari seluruh dunia untuk membuka peluang kepada doktor mempelajari rawatan alternatif yang ada di Asia Tenggara,” katanya yang turut menyenaraikan jenis rawatan di laman www.accentwellness.com.

Sejak dua tahun lalu, AWCP berkembang pantas hingga kini turut bertindak sebagai pembekal penjagaan kesihatan di Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Hong Kong, China dan Jepun.

Hasil usahanya yang tidak pernah mengenal putus asa, Stephanie berjaya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ubatan mengikut spesifikasi individu dalam kalangan doktor termasuk dalam bidang veterinar.

Selain dedikasinya membantu pesakit, dia turut memberi fokus kepada haiwan terbiar dengan membantu menyediakan rawatan bersesuaian.

Antara fokus AWCP ialah Terapi Penggantian Hormon Bio-identikal (BHRT) bagi wanita yang mengalami masalah menopaus, pengurusan rasa sakit, biokosmetik, veterinari dan sokongan serta pendidikan pakar perubatan.

Menurut Stephanie, antara kelebihan ubat yang dihasilkan AWCP adalah ia boleh mengelak bahan tidak perlu seperti pengawet, warna, bahan tambahan, mengelak alahan terhadap ubat komersial dan terapi yang lebih murah.

“Ada juga yang mahu ubat dibuat mengikut spesifikasi kerana ia dapat meningkatkan keyakinan diri misalnya ada kanak-kanak yang perlu mengambil ubat di sekolah. Mereka rasa malu apatah lagi apabila diejek oleh rakan, namun selepas ubat itu dibentuk dan kelihatan seperti coklat, mereka menjadi semakin yakin kerana tidak lagi diejek.

“Ada pula kanak-kanak yang badannya mengalami ruam setiap kali makan ubat dijual secara komersial, tetapi apabila kami menyingkirkan bahan yang menjadi alahannya, dia dapat makan ubat tanpa masalah,” katanya.

Kini, Stephanie terus melangkah yakin untuk mencapai hasratnya meluaskan kesedaran mengenai ubat dihasilkan mengikut keperluan merawat demi membantu lebih ramai dan menyumbang kepada komuniti di sekelilingnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 11:45 AM