Nur Amirah Athirah Abdul Majid yang gambar dan kisahnya diculik kini viral di media sosial, termasuk Facebook (FB). - Foto FB
Nur Amirah Athirah Abdul Majid yang gambar dan kisahnya diculik kini viral di media sosial, termasuk Facebook (FB). - Foto FB
Oleh Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dan menjejak remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan diculik di kawasan kediamannya di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, polis juga turut meminta kerjasama semua pihak supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menggugat keselamatan remaja berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diharap segera tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Polis Klang Utara Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa di talian 019-3829212 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Tarmizi Umar di talian 013-3430150," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Dalam kejadian itu mangsa dikenali sebagai Nur Amirah Athirah Abdul Majid disedari hilang selepas ibunya pulang ke rumah, kira-kira jam 2 petang Ahad lalu.

Ibu mangsa yang berusia 33 tahun cuba mencarinya di beberapa kawasan berhampiran serta menghubungi anaknya namun gagal sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sultan Suleiman Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 8:08 PM