Oleh Siraj Mohd Zaini


Klang: Remaja perempuan berusia 14 tahun dipercayai diculik dari kawasan rumahnya di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, Ahad lalu.

Menurut sumber, mangsa yang dikenali sebagai Nur Amirah Athirah Abdul Majid hanya disedari hilang selepas ibunya pulang ke rumah, kira-kira jam 2 petang.

Katanya, ibunya yang berusia 33 tahun cuba mencari di beberapa kawasan berhampiran serta menghubungi mangsa namun gagal.

"Kebiasaannya mangsa pulang ke rumah selewat-lewatnya jam 8 malam namun sehingga jam 10 malam hari itu mangsa tidak juga muncul.

"Bimbang keselamatan anaknya, ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada Isnin lalu di Balai Polis Bandar Sultan Suleiman," katanya.

Kejadian itu turut menjadi viral di laman sosial apabila tersebarnya rakaman perbualan telefon di antara mangsa dan ahli keluarganya yang mendakwa dirinya diculik sekumpulan lelaki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Yusoff Mamat berkata, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan dan sebarang perkembangan mengenainya akan dimaklumkan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 2:26 PM