BOMBA membantu mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada polis. FOTO ihsan BOMBA
BOMBA membantu mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada polis. FOTO ihsan BOMBA
Ruwaida Md Zain


Klang: Dua rakan sekerja maut selepas motosikal dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer 3.4 Lebuhraya Selat Klang Utara menghala ke Bandar Sultan Suleiman, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati ketika kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke tempat kerja selepas urusan di luar.

"Kemalangan ini membabitkan sebuah lori yang datang dari arah Shah Alam menghala ke Bandar Sultan Suleiman, manakala motosikal dinaiki mangsa dari arah Rantau Panjang menghala ke Bandar Sultan Suleiman.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa mengubah haluan dengan merapat ke kiri masuk ke laluan lori.

"Pada masa sama, lori terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa dan mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

"Penunggang motosikal dijumpai tergilis di tayar hadapan sebelah kiri lori, manakala pembonceng dijumpai di belakang lori," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati kedua-dua mangsa adalah lelaki warga tempatan di mana penunggang berusia 41 tahun dan pembonceng berumur 18 tahun adalah rakan sekerja di Bandar Sultan Suleiman.

"Mayat kedua-dua dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi tujuan bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, pemandu lori yang berumur 27 tahun dan beralamat di Tanjong Sepat itu tidak mengalami kecederaan dan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 12:43 PM