NUR Wahidah memetik cili bara.
NUR Wahidah memetik cili bara.
PROSES membuat baja organik.
PROSES membuat baja organik.
ANAK pokok cili yang disemai.
ANAK pokok cili yang disemai.
NUR Wahidah di depan ladangnya.
NUR Wahidah di depan ladangnya.
Oleh Mohamad Hussin


Seorang ibu tunggal cekal meneruskan kesinambungan arwah suaminya dalam bidang pertanian kerana minat yang mendalam dalam aktiviti penanaman sayuran secara lestari.

Pengalaman ketika belajar di Institut Latihan Pertanian Bumbung Lima, Kepala Batas, Pulau Pinang, banyak membantu Nur Wahidah Hambali, 35, mengenai selok-belok perniagaan pertanian. Dia dan suami Allahyarham Norhisham Ramlan terbabit dalam sektor pertanian sejak 2003 dalam tanaman secara terbuka dan fertigasi (sawah padi, rock melon, tanaman sayuran daun, kacang panjang, timun, cili, terung, bendi). Nur Wahidah berkata, dia menubuhkan syarikat Sri NF Services pada 2 Mac tahun lalu dengan memulakan aktiviti penanaman sayuran secara kecil-kecilan bermula dari 0.4 hektar pada 2004 dan meningkat kepada 3.2 hektar sehingga kini.

“Selain sayur-sayuran, kami menawarkan pusat latihan pertanian, perusahaan tanaman makanan dan penghasilan produk baja Semprot.

“Kebiasaannya tahun pertama hingga keempat proses pembelajaran. Saya pernah mengalami jatuh bangun dalam projek pertanian sebelum berjaya, namun ia memberi saya pengalaman cukup berharga bagi meneruskan usaha.

“Pada awalnya saya mengusahakan projek timun menerusi fertigasi iaitu penanaman di bawah satu bumbung dengan 4,000 beg dan penanaman terbuka di kawasan seluas 0.6 hektar.

“Bagi kedua-dua cara ini, ia ditanam dengan menggunakan tanah gambut liat,” katanya ketika ditemui di Pusat Pembangunan Komuniti Pertanian Lestari Kampung Raja Musa, Kuala Selangor, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengarah Sri NF Services berkata, selepas beberapa tahun mengusahakan timun, dia beralih kepada tanaman seperti rock melon, kacang panjang, cili, terung dan bendi kerana mendapat permintaan tinggi.

“Syarikat kami sedang membangun dan berdaya saing. Sebagai syarikat yang sentiasa berpandangan jauh, kami berusaha memberikan kualiti dan hasil kerja yang terbaik.

“Komitmen untuk beroperasi dengan cemerlang menjadi penanda aras kepada syarikat. Kami mengorak langkah menjadi pilihan utama pelanggan serta dapat mencapai pertumbuhan yang mampan, tanpa me­ngabaikan visi dan misi syarikat,” katanya.

Bekas Penolong Pegawai Pertanian Kuala Selangor itu berkata, antara visi syarikat ialah memperkenal dan menjadi ejen produk organik yang selamat sebagai kawalan serangga dan penyakit secara semula jadi kepada petani yang ingin beralih kepada pertanian lestari.

“Kami juga mengenal pasti usahawan tani yang baru membuka ladang supaya dapat berdaya saing dan berjaya dalam aktiviti penanaman melalui kaedah pertanian lestari.

“Menjana pengeluaran hasil yang tinggi dan berkualiti dengan mengamalkan amalan pertanian yang baik dan sistematik,” katanya.

Menurut Nur Wahidah, syarikatnya juga mahu menjadi pembekal utama baja organik, iaitu produk Semprot yang digunakan dalam aktiviti penanaman sayuran secara lestari.

“Syarikat saya mahu menjadi pusat latihan pertanian lestari yang dapat melatih usahawan pertanian baru yang berpengetahuan dan berdaya saing.

“Saya juga mahu mengeluarkan produk tanaman makanan yang berkualiti tinggi serta halal secara konsisten dan berterusan,” katanya.

Menurutnya, Sri NF Services juga mendapat kepercayaan Jabatan Pertanian Negeri Selangor membekalkan produk organik Semprot kepada petani di negeri itu.

“Baja dibuat menggunakan sisa makanan dan pelbagai bahan diguna pakai usahawan tani dan terbukti lebih menjimatkan kos serta hasil yang berlipat kali ganda.

Beliau menerima pelbagai anugerah antaranya Pegawai Pembimbing Terbaik Negeri Selangor tahun 2012, 2013, 2014 dan 2015, johan Konvensyen Kumpulan Kreatif & Inovatif (KIK) peringkat Jabatan Pertanian Malaysia 2015.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) 2015 serta wakil MOA ke Latihan Pengurusan Pengairan dan Saliran Padi di Jepun tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 10:44 AM