KUALITI pisang raja secara organik.
KUALITI pisang raja secara organik.
ABD Rahaman bersama sayur yang menggunakan rumah pelindung.
ABD Rahaman bersama sayur yang menggunakan rumah pelindung.
PENGHASILAN makanan haiwan.
PENGHASILAN makanan haiwan.
TANAMAN kubis yang subur.
TANAMAN kubis yang subur.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Panaromanya sangat indah menyaksikan kawanan rama-rama, lebah, kelulut dan serangga yang berterbangan waktu pagi.

Ia bagaikan sebuah filem animasi grafik ‘A Bug’s Life’ pernah ditayangkan sekitar 1998.

Begitulah realiti kehidupan koloni serangga di persekitaran Ladang Organik Bersepadu MARDI, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang.

Masing-masing memburu makanan, selain menjadi ejen pendebungaan semula jadi.

Ada yang memberi manfaat dan tidak kurang menjadi parasit kepada tanaman.

Di sudut berasingan, kelihatan kumpulan kambing asyik meragut rumput dan kokokan ayam kampung menenggelamkan kesunyian pagi.

Bagi Pembantu Penyelidik Kanan pusat itu, Abd Rahaman Sadek, dia sudah biasa dengan suasana segar dan nyaman itu.

Sebut apa saja mengenai sayuran organik, dia bersedia menerangkan satu persatu.

Jika dihadiahkan segenggam benih kekacang pun, Abd Rahman pasti dapat menggandakan.

Sebagai pembantu penyelidik yang berkhidmat dengan bidang pertanian organik sejak 2002, Abd Rahaman tahu selok-belok ladang seliaannya.

Membatas, menyediakan baja dan menyemai pokok antara tugas hakikinya dalam membantu kumpulan penyelidik.

Ada kalanya dia mengambil sampel tanah selain melihat impak penggunaan baja organik terhadap tanaman dan pengawalan perosak secara organik bersumberkan biopestisid hasil penyelidikan yang dijalankan dari masa ke semasa.

Penulis ditemani dua Pegawai Penyelidik Kanan MARDI Haryati Mansor dan Theeba Manickam.

Ladang berkeluasan tujuh hektar yang menempatkan pelbagai plot tanaman organik seperti sayuran berdaun, sayuran berbuah, ubian dan buahan bermusim itu turut dintegrasikan dengan ternakan kambing dan ayam.

Impak penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap sayuran organik sudah menampakkan perkembangan positif.

Malah, pada peringkat akhir bagi memperoleh Pensijilan Skim Organik Malaysia (SOM) atau kini MyOrganik yang dibangunkan Jabatan Pertanian.

Antara projek R&D dibangunkan adalah seperti penghasilan kompos, plot pengujian produk baja bio, plot tanaman giliran dan laman dapur organik.

Haryati berkata, plot projek penyelidikan ladang organik dilaksanakan MARDI bermula sejak tahun 2006.

“Ia bermula dengan tanaman pisang sebelum ditukar kepada pengurusan secara organik.

“Pembangunan penyelidikan ladang contoh organik ini berkembang pesat menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) di bawah projek penyelidikan pertanian hijau,” katanya.

Projek itu diketuai Illani Zuraihah Ibrahim yang menitikberatkan pertanian sihat dan persekitaran selamat.

MARDI, katanya mengemukakan permohonan untuk pensijilan organik kepada Jabatan Pertanian pada awal tahun lalu lagi dan dijangka memperoleh sijil selewat-lewatnya pada tahun ini.

“Antara kriteria untuk pensijilan ialah tidak boleh menggunakan input kimia seperti racun perosak dan baja.

“Semua input berkaitan pertanian juga perlu bersumberkan organik dan semulajadi.

“Bagi mendapatkan pensijilan organik banyak prosedur perlu dilaksanakan seperti pengambilan sampel tanah, air dan hasil pertanian. Proses ini perlu bagi memastikan ladang dan hasil ladang bebas daripada sebarang input kimia.

“Pusingan tanaman juga dilakukan bagi melihat kesannya kepada kesuburan tanah,” katanya.

Penyelidikan juga menjurus kepada pengurusan intergrasi penternakan haiwan secara organik.

“Najis kambing dapat digunakan semula untuk menghasilkan baja kompos.

“Prosedur itu menjimatkan selain tidak bergantung kepada pembelian sumber luar,” katanya.

Mereka turut melaksanakan kaedah kejuruteraan-ekologi atau ‘Eco-Engineering’ bagi menilai interaksi tanaman diusahakan secara selangan melalui corak penanaman bercampur dan kesannya terhadap persekitaran.

“Tujuannya untuk melihat kesan serangan serangga dengan menggunakan tanaman ‘repellent’ seperti ulaman berorama seperti ulam raja dan selasih yang ditanam bersama sayuran lain .

“Selalunya konsep kimia membunuh serangga, tetapi organik pula menghalau serangga,” katanya.

Meskipun kesan serangan tetap ada, tetapi dapat diminimumkan.

Menyentuh mengenai organik katanya, ia berkonsepkan pengurusan persekitaran.

“Bukan saja bersifat persekitaran sihat, malah sistem pertanian organik juga adalah mesra alam, tidak membunuh serangga dan menekankan kepada persekitaran tanah yang sihat dan berkualiti.

“Berbanding penggunaan bahan kimia yang akan meningkatkan saliniti tanah, bertoksin serta mengurangkan kesuburan,” katanya.

Kaedah pertanian secara organik katanya meningkatkan kesuburan tanah dari segi biologi, kimia dan fizik yang juga membantu meningkatkan penyerapan nutrien secara efisyen oleh tanaman

“Hasil keluaran produk organik adalah amat berbeza bagi mereka yang selalu mengamalkan produk organik. Tekstur sayur organik adalah lebih baik, tahan lama dan tidak mudah layu, selain kesegarannya dapat dikekalkan,” katanya buah organik lebih manis dan rangup tetapi bergantung kepada input organik yang digunakan.

Menurutnya, usaha membangunkan ladang organik ini adalah untuk meningkatkan hasil pengeluaran di samping kepelbagaian kaedah penanaman untuk sistem sara diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 12:46 PM