KUBIS tanaman yang mempunyai permintaan tinggi. FOTO: MARDI
KUBIS tanaman yang mempunyai permintaan tinggi. FOTO: MARDI
Nurul Husna Mahmud

PRODUK pertanian organik memberi jaminan sumber makanan bebas kimia dan selamat menerusi ekosistem yang lestari sehingga ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat.

Memfokuskan kepada pengeluaran hasilnya yang berkualiti dan tidak menggunakan sebarang input kimia, produk organik biasanya berharga dua atau tiga kali lebih tinggi berbanding produk konvensional.

Pengeluaran di Malaysia menyumbang 30 peratus produk makanan organik dan negara kita mengimport 70 peratus bekalan makanan organik disebabkan jumlah ladang mahupun petani yang mengusahakan pertanian organik itu.

Menurut Timbalan Pengarah Program Perladangan Organik Pusat Penyelidikan Sains Tanah, Air dan Baja Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Theeba Manickam, ketika ini hanya 230 ladang yang menerima pensijilan organik dengan keluasan sekitar 2021 hektar.

Jumlah itu, kata Theeba, terlalu kecil dan dengan peningkatan bilangan ladang yang rendah setiap tahun berbanding negara jiran untuk menampung permintaan produk organik dalam negara.

Di bawah Rancangan Malaysia ke-12, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyasarkan peningkatan yang signifikan bagi ladang pensijilan myOrganik menampung permintaan terhadap produk itu demi memenuhi keperluan dalam negara.

MADU kelulut juga terdapat dalam ladang organik bersepadu Mardi. FOTO: MARDI
MADU kelulut juga terdapat dalam ladang organik bersepadu Mardi. FOTO: MARDI

"Isu utama pertanian organik di Malaysia adalah produktiviti hasil tanaman organik yang masih rendah dan kurang lestari disebabkan sistem pengurusan ladang serta tanaman yang kurang cekap.

"Selain itu, kos pengeluaran ladang organik juga tinggi disebabkan kebergantungan terhadap tenaga buruh dan input pertanian organik yang mahal seperti baja bioorganik dan biopestisida dari pasaran tempatan selain diimport dari negara luar.

"Serangan perosak dan penyakit pada tanaman berpunca daripada faktor cuaca tidak menentu dan pengurusan perosak serta penyakit kurang cekap antara masalah utama menyumbang kepada pengeluaran hasil yang rendah,"katanya.

Cabaran pihaknya adalah membantu meningkatkan pengeluaran dan kualiti hasil tanaman organik serta menjadi pusat rujukan teknikal untuk perladangan secara organik membolehkan 'survival' petani tempatan dalam 'genre' pertanian berkenaan.

"Pusat Penyelidikan Sains Tanah, Air dan Baja Mardi menjalankan kajian penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pertanian organik mendapati sistem perladangan organik bersepadu antara terbaik.

"Bersepadu dalam erti lain kami menyarankan penggunaan kaedah integrasi dengan pelbagai komponen sektor industri ini iaitu ternakan, tanaman pelbagai jenis dan agroekologi memastikan pengeluaran hasil yang optimum.

SERAI ditanam bagi membantu menghalau serangga perosak selain hasilnya boleh dituai. FOTO: MARDI
SERAI ditanam bagi membantu menghalau serangga perosak selain hasilnya boleh dituai. FOTO: MARDI

"Ia juga meminimumkan masalah perosak, rumpai dan kebergantungan 'input' pertanian dari luar. Pengurusan sisa sifar juga membantu dan mengurangkan kos input ladang,"katanya.

Sebagai contoh, Theeba berkata, ternakan seperti kambing dan ayam membantu kepada penghasilan baja organik untuk tanaman di samping menjadi pendapatan tambahan kepada petani.

Sementara itu, tanaman seperti serai dan selasih menghalang kehadiran serangga perosak kepada tanaman lain selain kewujudan kelulut membantu pendebungaan untuk galakkan tanaman buah.

Bagaimanapun, kata Theeba, aspek mengenai pilihan tanaman dilihat keutamaan dalam penyelidikan. Malah pihaknya melihat tanaman bernilai tinggi seperti kubis tanah rendah dan cili sebagai fokus berdasarkan permintaan tinggi dalam pasaran selain dilihat membantu petani tanaman organik meraih pendapatan sampingan yang setimpal.

"Terkini kami sedang menjalankan kajian untuk pengeluaran cili secara organik sama ada ladang terbuka atau sistem tertutup (pelindung hujan) bagi melihat kaedah mana yang terbaik untuk mengeluarkan hasil berkualiti.

"Tanaman cili, tomato dan kubis organik mempunyai permintaan yang tinggi tapi pengeluaran hasil dalam negara masih sangat rendah. Sayur-sayuran ini mempunyai cabaran yang tinggi dari segi pengurusan perosak dan penyakit khasnya apabila ditanam secara organik serta di tanah rendah.

TERNAKAN kambing penting dalam penghasilan kompos atau baja untuk tanaman menerusi sisa najisnya. FOTO: MARDI
TERNAKAN kambing penting dalam penghasilan kompos atau baja untuk tanaman menerusi sisa najisnya. FOTO: MARDI

"Jadi apa yang kami lakukan ialah amalkan sistem tanaman selingan dengan tanaman serai, sayuran berdaun dan bungaan untuk menghalang serangga perosak yang sering mengancam tanaman,"katanya.

Bagi kawalan penyakit pula, produk biofungisida teknologi Mardi dibangunkan dan digunakan bersama produk biopestisida yang lain. Selain itu, produk baja bioorganik teknologi Mardi digunakan untuk membekalkan nutrien yang diperlukan bagi pengeluaran hasil optimum.

Mengenai pensijilan myOrganik, kata Theeba, ia di bawah Jabatan Pertanian bagi mengiktiraf hasil produk mencapai spesifikasi ditetapkan selayaknya bagi produk organik. Bonus buat petani, hasil pertanian mudah dikenali dan dapat bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa

"Galakan kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan membantu petani dengan memberi perkhidmatan bagi mendapatkan pensjilan myOrganik yang memberi nilai tinggi kepada hasil jualan produk petani berkenaan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 7:58 AM