AHOK bersama isteri, Veronica Tan menjelang pelantikan rasminya sebagai Gabenor Jakarta, semalam.
AHOK bersama isteri, Veronica Tan menjelang pelantikan rasminya sebagai Gabenor Jakarta, semalam.

Jakarta: Walaupun berdepan protes daripada kumpulan radikal Islam dan diancam dipulaukan oleh musuh politik, Basuki Tjahaja Purnama semalam dilantik secara rasmi sebagai Gabenor Jakarta.

Basuki yang lebih popular dengan nama Ahok dilantik di Istana Presiden dalam majlis diadakan di depan Presiden Jokowi tengah hari semalam.

Ia turut disiarkan secara langsung oleh rangkaian berita utama Indonesia.

Gabenor Jakarta pertama berketurunan Tionghua dan bukan beragama Islam, Ahok adalah pembantu Jokowi sebelum ini.

Antara tokoh terawal mengucapkan tahniah kepada Ahok ialah bekas presiden yang juga Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan, Megawati Soekarnoputri.

Sebelum itu pemimpin Gabungan Merah Putih - kumpulan yang menentang Jokowi dan Ahok - mengarahkan semua 57 wakil rakyatnya hadir di sidang pleno sebagai tanda membantah pelantikan berkenaan.

Menjelang majlis berkenaan, polis mengerahkan 12,000 anggotanya berkawal bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Antara kumpulan yang lantang menolak Ahok sebagai gabenor ialah Barisan Pembela Islam yang berfahaman radikal (FPI).

Menurut FPI, mereka akan menggagalkan majlis angkat sumpah itu dengan apa cara sekali pun.

Namun sehingga tengah hari, tiada laporan berlaku sebarang gangguan atau kekecohan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:11 AM