MOHD Zakaria Ahmad menunjukkan wajah empat suspek. FOTO Danial Saad
MOHD Zakaria Ahmad menunjukkan wajah empat suspek. FOTO Danial Saad
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Polis Pulau Pinang memburu empat lelaki dipercayai anggota kongsi gelap bagi membantu siasatan dua kes cubaan bunuh yang berlaku di Sungai Udang dan Batu Kawan, Seberang Perai Selatan (SPS) pada 8 dan 19 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Zakaria Ahmad berkata, kempat-empat mereka dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kejadian cubaan bunuh dua lelaki dalam dua kejadian di SPS.

Beliau berkata, dalam dua kejadian berasingan itu, seorang lelaki berusia awal 30-an ditemui orang ramai dalam keadaan berlumuran darah di kawasan Jeti Batu Musang, Batu Kawan pada 12.10 tengah malam dipercayai ditikam sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, dalam kejadiankedua Sabtu lalu, seorang lelaki berusia 30-an terselamat daripada tembakan yang disasarkan kepadanya ketika pulang ke rumah selepas bermain judi di Sungai Udang, Sungai Acheh, SPS, 12.20 tengah malam.

Zakaria berkata, berdasarkan siasatan kedua-dua kejadian adalah berpunca daripada hutang yang dilakukan kedua-dua mangsa

Beliau berkata, keempat-empat mereka dikenali sebagai Khaw Sim Chok, 50; Tioh Tiang Hock, 38; Siam Kea,20-an dan Jeffrey Ooi Chia Joon, 20-an.

"Siasatan lanjut masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun atau denda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:01 PM