BARISAN pemain sepak takraw Perak.
BARISAN pemain sepak takraw Perak.
Oleh Asrizal Aris

Ipoh: Kontinjen Sepak Takraw Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (MSKPP) Perak menamatkan kemarau hampir enam tahun apabila muncul juara Pesta MSKPP Kebangsaan Ke-43 di Putrajaya, baru-baru ini.

Dalam pertandingan itu, kemenangan diraih pasukan sepak takraw turut menyumbang kepada kontinjen Perak untuk dinobatkan juara keseluruhan selepas mengumpul 22 mata dalam 12 acara disertai.

Ketua kontinjen, Mohamad Nazri Ibrahim berkata kejayaan muncul juara keseluruhan itu bukan mudah dicapai tanpa semangat tidak putus asa semua pemain.

“Satu rekod membanggakan. Walaupun peruntukan diberi tidak cukup membiayai pasukan, mereka tidak menjadikan itu sebagai alasan.

“Saya puji semangat pasukan sepak takraw yang tidak putus asa mencuba selama enam tahun untuk bergelar juara. Ini emas pertama sukan sepak takraw MSKPP Perak sejak 30 tahun dalam pesta ini,” katanya ketika meraikan kejayaan mereka di Ipoh Parade, di sini.

Ketua sepak takraw MSKPP Perak Edy Yusman Abdul Manap, 36, berkata kejayaan mengalahkan Pahang yang juga pasukan pilihan di final kejayaan yang sangat bermakna.

“Selama enam tahun berusaha, sudah tiga kali kami ke final tapi dikecewakan pasukan sama. Tahun ini kami puas dapat membalas dendam dan membawa pulang emas pertama sepak takraw MSKPP Perak.

“Perlawanan akhir itu paling sengit. Regu pertama kami menang 21-17, 18-21, 21-19 namun regu kedua tewas 20-22 dan 21-23.

“Mujur regu ketiga kami menang mudah dengan mata 21-14 dan 21-5,” katanya.

Dalam kejohanan itu, Perak muncul juara keseluruhan selepas meraih emas acara sepak takraw, golf dan hoki serta naib johan dalam acara bola sepak kategori veteran manakala kontinjen Selangor memperoleh tempat kedua diikuti Johor ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 7:15 AM