Oleh Hairulazim Mahmud dan Siti Fatimah Hassan dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengesyorkan lima tindakan susulan kepada alumni Al-Azhar Malaysia supaya kerajaan boleh bekerjasama dengan pertubuhan itu untuk mencapai perpaduan umat.

Perdana Menteri berkata, mereka perlu memberi penerangan dan pengajaran kepada umat bahawa perpaduan adalah kewajipan dalam Islam.

Katanya, mereka juga wajar memastikan orang Islam memahami kepentingan perpaduan.

"Yang ketiga, menganjurkan program bersifat pembabitan tema perpaduan yang tidak bermusim.

"Keempat,melahirkan lebih banyak kader untuk meneruskan agenda perpaduan dan kelima pula menjadikan agenda perpaduan sebagai agenda umat Islam di peringkat negara dan global," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden PAS yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Sheikh Al-Azhar Prof Dr Abbas Shouman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 7:02 PM