Oleh Siraj Mohd Zaini


Shah Alam : Dua mayat lelaki berusia 28 dan 30-an ditemui anggota bomba di dua kawasan berlainan berhampiran Sungai Langat, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting Mohd Jaslizad Jalil berkata, mayat pertama dikenali sebagai Mohamed Sofiyuddin Kamar, 28, ditemui di belakang kilang di tepi sungai berkenaan, kira-kira jam 1 petang.

Menurutnya, bomba kemudian menemui satu lagi mayat berusia 30-an kira-kira 50 meter dari lokasi pertama iaitu di Jambatan Labuhan Dagang, Bukit Canggang, kira-kira dua jam setengah kemudian.

"Mayat pertama ditemui lengkap berpakaian dan dipercayai mati lemas sejak seminggu lalu.

"Manakala mayat kedua ditemui dalam keadaan sudah kembung serta tidak berpakaian dan dianggar meninggal dunia sejak tiga atau empat hari lalu," katanya.

Katanya, kedua-dua mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 6:08 PM