Klang: Mayat seorang lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Kota, dekat sini malam Isnin lalu ditemui kira-kira jam 11.15 pagi tadi.
Mayat lelaki berusia 30-an itu ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa terjun.
Pegawai Operasi Balai Bomba Kota Raja, Rusli Abu berkata, mayat lelaki itu ditemui berpakaian lengkap iaitu memakai seluar pendek hijau dan t-shirt putih.
"Mayat yang belum dikenal pasti identiti itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut.
"Sehingga hari ini tiada laporan mengenai kehilangan orang dibuat oleh mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian kira-kira 9.45 malam Isnin lalu, lelaki itu terjun dari jambatan berkenaan dan usaha mencari dan menyelamat dilakukan anggota bomba bersama polis marin sejurus laporan diterima.