Osaka: Bekas pemain tengah Spurs Paulinho (gambar) menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan bagi membolehkan kelab China Guangzhou Evergrande mengejutkan kelab Mexico, America 2-1 semalam sekali gus bertemu Barcelona pada separuh akhir Piala Kelab Dunia di Jepun.

Pada satu lagi perlawanan, juara Jepun Sanfrecce Hiroshima mengatasi kelab Congo TP Mazembe 3-0 di Osaka dan akan bertemu juara Piala Libertadores, River Plate.

Paulinho melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol hasil sepakan sudut ketika perlawanan hampir tamat dan melengkapkan kebangkitan juara Asia, Guangzhou.

“Saya memang mengimpikan saat seperti ini,” kata Paulinho. “Anda tidak tahu apa yang akan berlaku dalam bola sepak dan justeru, adalah lebih baik untuk tidak bercakap banyak sebelum perlawanan bermula.”

Penyerang veteran Oribe Peralta hampir mengecewakan Guangzhou apabila menanduk masuk gol pendahuluan pada minit ke-50 tetapi pemain gantian, Zheng Long berjaya menyamakan kedudukan buat skuad kendalian Luiz Felipe Scolari itu ketika permainan berbaki 10 minit.

Tuah tidak memihak kepada Mazembe yang walaupun mendominasi sebahagian besar perlawanan, gagal menghasilkan sebarang jaringan sebaliknya Hiroshima yang mendapat sokongan padu penonton tempatan, meledak tiga gol menerusi Tsukasa Shiotani, Kazuhiko Chiba dan Takuma Asano. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 5:04 AM