Mohammad Sufiyan Maula dipenjara dua bulan selepas mengaku bersalah ugutan mahu menyebabkan gambar dan video lucah milik penuntut. FOTO Alias Abd Rani
Mohammad Sufiyan Maula dipenjara dua bulan selepas mengaku bersalah ugutan mahu menyebabkan gambar dan video lucah milik penuntut. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Pengait buah sawit dipenjara dua bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mengugut untuk menyebar video dan gambar lucah penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA), tahun lalu.

Mohammad Sufiyan Maula Ahmad Zahari, 27, yang didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba mendatangkan ketakutan terhadap seorang penuntut IPTA berusia 27 tahun, dengan mahu menyebarkan video dan gambar bogelnya yang menyebabkan mangsa terpaksa menyerahkan wang RM2,000.

Kejadian didakwa berlaku pada 9 pagi, 16 Februari tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahida Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pihak pendakwaan meminta tertuduh dikenakan hukuman penjara kerana mengambil kira kesan dilalui mangsa, namun peguam tertuduh memohon hukuman denda paling minimum.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bermula dari tarikh ditahan pada 29 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 1:55 PM