Syed Saddiq Abdul Rahman.
Syed Saddiq Abdul Rahman.
Luqman Arif Abdul Karim


KETUA Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), Syed Saddiq Abdul Rahman bersedia berdepan kemungkinan hilang segala jawatan berbanding menjalin kerjasama dengan blok Perikatan Nasional (PN).

Terus mengekalkan pendirian awal, beliau menolak kemungkinan akan mengikuti percaturan bekas pegawai khasnya yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad namun kini beralih arah di kem Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Meskipun berbeza pendapat dalam menentukan pembawaan diri dan hala tuju politik, Syed Saddiq mengambil pendirian terbuka serta bersikap matang dengan menzahirkan ucapan selamat maju jaya terhadap bekas pegawai khasnya itu.

“Malangnya, saya tidak akan menyertai beliau kerana lebih rela hilang semua kedudukan berbanding pegangan moral,” katanya dalam perbualan kumpulan WhatsApp media, semalam.

Bekas pegawai khas Syed Saddiq yang juga Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, semalam, secara terbuka menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, pasca krisis politik di Malaysia, minggu lalu.

Menerusi catatan di Twitter, Wan Ahmad Fayhsal mendedahkan hasil pertemuan dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu selepas mengambil asas ‘fiqh tabayyun’ (berpegang kepada kebenaran) dan menyerahkan diri kepada Allah.

Selepas mendengar penerangan tuntas mengenai polemik Bersatu yang berlarutan hampir dua jam, beliau menaruh keyakinan terhadap isi perkongsian diluahkan Ahli Parlimen Pagoh itu.

“Yang keruh sudah dijernihkan, yang kusut sudah dikemaskan, yang kabur sudah dijelaskan. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyokong penuh Tan Sri Presiden Bersatu untuk terus menerajui kepemimpinan negara sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 7:01 AM