LAPORAN Portal HM
LAPORAN Portal HM
Digital HM

SPEAKER Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof menerima satu usul tergempar berkenaan gesaan supaya sidang Parlimen pada 18 Mei ini, yang dijadual berlangsung sehari sahaja dilanjutkan kepada lapan hari.

Malaysiakini melaporkan, dalam satu kenyataan hari ini, Ariff berkata, beliau sudah menerima usul daripada Anggota Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong dan memutuskan untuk menerima sebahagian daripadanya.

"Empat perkara yang dibangkitkan dalam usul itu ialah usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,

undi percaya kepada Anggota Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa Parlimen berhak mengawal selia tatacaranya sendiri dan tidak terikat dengan mana-mana peraturan terutama perintah kawalan pergerakan (PKP) dan usul supaya sidang Dewan Rakyat dilanjutkan daripada sehari kepada lapan hari.

"Atas pertimbangan berdasarkan penjelasan yang diberikan, saya memutuskan supaya sebahagian ditolak dengan alasan usul dikemukakan tidak perlu disegerakan.

"...dan sebahagian diterima kerana ia perkara tertentu, untuk kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan boleh dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak," katanya.

Ariff tidak menyatakan secara khusus bahagian usul yang diterima, atau bila ia akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Liew dalam kenyataan berkata, Ariff menolak dua bahagian pertama usulnya dan menerima dua bahagian lagi berkenaan tempoh sidang Dewan Rakyat.

Katanya, Speaker sudah memaklumkan kepadanya berkenaan perkara itu dalam sepucuk surat bertarikh 5 Mei.

Memetik surat itu, Liew berkata, Ariff memaklumkan kerajaan sudah pun mempunyai keyakinan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, keputusan itu bersifat pramatang memandangkan keputusan anggota Dewan Rakyat pada 18 Mei ini masih belum diketahui.

Pada masa sama, Liew berkata, Ariff memaklumkan bahagian ketiga dan keempat usulnya menepati keperluan sebuah usul tergempar, berdasarkan Peraturan 18 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Malaysiakini yang menghubungi Ariff untuk mendapatkan penjelasan tetapi beliau enggan mengulas lanjut dan meminta ia dilaporkan berdasarkan kenyataannya.

Ditanya berkenaan sama ada beliau menerima sebahagian usul Liew berkenaan tempoh sidang, Ariff memberitahu bahawa, "penjelasan (Anggota Parlimen) Batu Sapi sudah mencukupi,".

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 12:18 AM