MOHD Nasir (tengah) bersama pegawai menunjukkan rokok seludup pelbagai jenama pada sidang media kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah di Menara Kastam Sabah. FOTO Mohd Adam Arinin
MOHD Nasir (tengah) bersama pegawai menunjukkan rokok seludup pelbagai jenama pada sidang media kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah di Menara Kastam Sabah. FOTO Mohd Adam Arinin
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup rokok terbesar bernilai RM8.05 juta, Sabtu lalu.

Dalam operasi pada 4.55 petang itu, rokok itu disembunyikan di sebuah stor tidak bernombor di Lorong Sedco 9, Batu 3, Sandakan.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, serbuan terhadap stor berkenaan dijalankan hasil maklumat cawangan risikan dan bahagian penguatkuasaan JKDM.

Menurutnya, hasil serbuan itu pihaknya merampas sebanyak 5.26 juta batang rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM526,228 tidak termasuk cukai.

"Pasukan operasi berjaya merampas tiga kenderaan, Proton Persona, Toyota Hilux dan Toyota Hiace yang dipercayai digunakan untuk penyeludupan.

"Selain itu, kita turut menahan tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 33 hingga 47 tahun untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang media di Menara Kastam, di Jalan Sulaman di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata, pihaknya percaya semua rokok berkenaan diseludup masuk dengan niat mengelak cukai dan mendapatkan kelebihan perniagaan di pasaran tempatan.

Katanya, rokok berkenaan banyak dibawa masuk ke daerah di Pantai Timur negeri ini berikutan permintaan golongan berpendapatan rendah terutamanya pekerja ladang.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengangkut barang tidak berkastam bagi tujuan mengelak cukai.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana yang lebih besar.

"Pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Nasir berkata, aktiviti penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, orang ramai disarankan supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan di talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

"Kastam juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 1:40 PM