Junaidi Ladjana


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menahan tiga lelaki disyaki anggota sindiket penyeludupan dan merampas pelbagai jenis rokok, minuman keras serta mencun dianggarkan bernilai RM8.3 juta dalam serbuan di stor di Kampung Bontoi, Tamparuli di Tuaran, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan lima pegawai dan anggota PPM pada 12.30 tengah hari, susulan intipan sejak 21 Januari lalu yang mendapati terdapat pergerakan keluar masuk di stor berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, ketika serbuan, anggota PPM menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 40 tahun termasuk dua warga asing yang sedang memunggah barang dari van ke dalam stor berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis rokok, minuman keras dan mercun yang tidak mempunyai sebarang dokumen,” katanya dalam sidang media di Markas PPM Wilayah 4 Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Turut hadir, Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat dan Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali.

Rampasan membabitkan 114,350 bungkus rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM5.5 juta selepas cukai, 2,746 kotak pelbagai jenis minuman keras bernilai RM2.6 juta selepas cukai serta mercun dan van berjumlah RM96,235 selepas cukai.

OMAR (kanan) bersama Mohd Yusoff melihat rampasan minuman keras dan rokok di Markas PPM Wilayah 4 Sabah. -Foto EDMUND SAMUNTING.
OMAR (kanan) bersama Mohd Yusoff melihat rampasan minuman keras dan rokok di Markas PPM Wilayah 4 Sabah. -Foto EDMUND SAMUNTING.

Omar berkata, rampasan dianggarkan RM8.3 juta selepas cukai iaitu kejayaan terbesar dalam sejarah PPM di Sabah dan barangan terbabit yang disyaki diseludup dari beberapa negara, dipercayai untuk pasaran sempena Tahun Baharu Cina.

“Kita tidak pasti bagaimana barang ini dibawa (masuk ke Sabah) tetapi kita sedang menyiasat untuk mengenalpasti dan mendapatkan maklumat rangkaian sindiket.

“Pada masa sama, kita menyiasat sama ada barang yang dirampas ini mempunyai dokumen yang sah... tetapi setakat ini, ketika serbuan dijalankan suspek gagal menunjukan sebarang dokumen mengenai barang berkenaan,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada PPM Bukit Aman dan Wilayah 4 atas kejayaan besar itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 (Pindaan 2018) iaitu menyimpan barang-barang larangan.

OMAR (kanan) bersama Mohd Yusoff melihat rokok pelbagai jenama yang berjaya dirampas. -Foto EDMUND SAMUNTING.
OMAR (kanan) bersama Mohd Yusoff melihat rokok pelbagai jenama yang berjaya dirampas. -Foto EDMUND SAMUNTING.

Omar berkata, sepanjang tahun lalu PPM Wilayah 4 menahan 1,439 individu membabitkan 1,684 operasi dengan nilai rampasan RM18,729,439.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, sepanjang 2018, PPM menghasilkan rampasan bernilai RM88,611,917 membabitkan 3,316 operasi dengan 4,315 tangkapan di seluruh negara.

“Kes-kes yang dihasilkan merangkupi beberapa akta seperti Akta Kastam 1967 (259 kes), Akta Perikanan 1985 (1,434 kes), Akta Imigresen 1959/63 (396 kes), Akta Dadah Berbahaya 1952 (382 kes) dan Akta Kawalan Bekalan 1961(135 kes).

“Selain itu, 47 kes membabitkan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010) serta lain-lain akta yang berkuatkuasa di Malaysia sebanyak 1,662 kes,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 8:34 PM