Oleh Khairulmizan Yahya

Kuantan: Sebanyak 33.6 peratus rokok dan 30 peratus minuman keras yang dijual di pasaran negara ini tidak mendapat kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyebabkan negara kerugian kira-kira RM2 bilion setiap tahun akibat kehilangan hasil cukai.

Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM Datuk Matrang Suhaili berkata,dua komoditi itu adalah antara penyumbang terbesar hasil cukai negara namun kegiatan penyeludupan yang didorong oleh permintaan pengguna menyebabkan negara mengalami kerugian besar.

Katanya, isu berkenaan perlu dipandang serius kerana ia bukan saja merugikan, malah turut mengancam keselamatan negara kerana membuka ruang kepada sindiket penyeludupan menjadikan negara ini sebagai pusat lambakan rokok dan arak seludup dari negara luar.

"JKDM sudah melancarkan Ops Outlet sejak Februari 2010 sehingga kini dan sebagai kesinambungan operasi ini, kami melancarkan Ops Pacak, khusus memberi tumpuan kepada usaha untuk mengekang masalah penyeludupan dan penjualan pelbagai jenis rokok seludup di negara ini.

"Bagi memastikan Ops Pacak mencapai objektifnya, kita menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Selain itu, kita turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Imigresen malah pada masa akan datang, kita merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan tugas penguatkuasaan ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan telus," katanya pada sidang media selepas melancarkan Ops Pacak peringkat negeri, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 3:20 PM