NORIZAWATI menadah air hujan di hadapan kedainya di Kampung Padang Kedondong, Ketereh berikutan ketiadaan bekalan air yang dialami sejak lebih sebulan lalu. FOTO Siti Rohana Idris
NORIZAWATI menadah air hujan di hadapan kedainya di Kampung Padang Kedondong, Ketereh berikutan ketiadaan bekalan air yang dialami sejak lebih sebulan lalu. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Pasangan orang kurang upaya (OKU) masalah penglihatan di Kampung Padang Kedondong, Ketereh di sini, terpaksa menadah hujan disebabkan gangguan bekalan air sejak sebulan lalu.

Dalam tempoh itu, Mohd Firdaus Mohamed Nor, 41, dan isterinya, Norizawati Abdul Latif, 50, yang mengusahakan jualan char kuetiau tidak dapat berniaga selama tiga minggu sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Mohd Firdaus yang mengalami masalah penglihatan disebabkan kecederaan saraf sejak kecil berkata, sebelum ini dia dan hampir 500 penduduk di kampung itu pernah berdepan masalah bekalan air namun tidak berterusan sehingga memakan masa berminggu.

"Selepas menunggu hari demi hari dan bekalan air tidak juga pulih, ramai penduduk mula mencari alternatif lain iaitu membina telaga tiub serta memasang enjin untuk tarik air (water pump).

"Bagaimanapun, ada juga yang gagal kerana air yang terhasil berbau, manakala saya, isteri dan tiga anak pula tetap menunggu kerana kami tidak mampu nak beli enjin air apatah lagi membina telaga tiub.

"Buat masa sekarang, kami berulang-alik mengambil air dari telaga di rumah ibu saudara selain menadah air hujan untuk penggunaan seharian," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Firdaus berkata, ada kalanya tiga anak mereka akan bangun awal pagi dan akan ke sekolah lebih awal dari murid lain untuk mandi di tandas sekolah, malah kekangan mereka turut mendapat perhatian pihak sekolah sekali gus memberi kebenaran.

Katanya, selepas sekian lama tidak membuka gerai char kuetiau yang diusahakan di hadapan rumah, dia dan isteri mengambil keputusan memulakan semula operasi memandangkan simpanan semakin menyusut.

"Sejak empat hari lalu, kami buka semula gerai dan terpaksa mengeluarkan belanja membeli air dari mesin penapis sekitar RM10 setiap hari bagi kegunaan berniaga.

"Nasib baik saya dan isteri menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing sebanyak RM450 sebulan dan dapatlah menampung kelangsungan hidup namun keadaan agak mendesak kerana banyak komitmen yang perlu dilunaskan," katanya.

Mohd Firdaus berkata, jika sebelum ini perniagaannya beroperasi 5 petang hingga 12 tengah malam namun sejak mengalami masalah bekalan air, dia terpaksa menghentikan operasi kedai lebih awal kerana perlu bersiap sedia menadah air.

Menurutnya, air hanya keluar dari paip pada 1 pagi namun kapasitinya tidaklah banyak dan hanya mampu memenuhi tiga hingga empat besen sahaja.

"Pada 5 pagi, air semakin perlahan malah hanya titisan sahaja yang keluar dari paip dan keadaan ini sangat menyukarkan kami terutama saya dan isteri yang berstatus OKU.

"Untuk membeli air bersih di mesin penapis air, kami perlu keluar dengan e-hailing dan perlu mengeluarkan kos untuk tambang juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 1:21 PM