Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Padang Besar: Minat dan kasih terhadap binatang yang ditunjukkan seorang lelaki berusia 25 tahun antara faktor utama kambing peliharaannya mudah mengikut arahan untuk kembali ke kandang setiap kali dipanggil.

Baru-baru ini, video lelaki berkenaan hanya menjerit memanggil lebih 80 ekor kambingnya untuk masuk ke kandang tanpa perlu dihalau seperti binatang ternakan lain, tular di media sosial.

Lelaki dalam video itu, Ahmad Zaidi Abdul Bashir, dari Semadong di sini, berkata, minatnya terhadap binatang ternakan bermula sejak berusia 15 tahun.

“Mulanya saya menternak ayam, tetapi lama-kelamaan minat itu beralih kepada kambing kerana melihatnya lebih mudah dibela, di samping melihat penduduk sekitar sini membelanya seperti ahli keluarga mereka sendiri.

“Dari situ mula timbul minat dan ketika itu memang kambing kampung saja yang saya bela kerana harganya yang lebih murah dan berpatutan,” katanya ketika ditemui.

AHMAD Zaidi  membawa kambing peliharaannya meragut rumput. FOTO Azhar Ramli
AHMAD Zaidi membawa kambing peliharaannya meragut rumput. FOTO Azhar Ramli

Menariknya, semua kambing peliharaannya seakan mengenali suara pemilik mereka setiap kali Ahmad Zaidi menjerit memanggil masuk ke kandang.

“Saya lepaskan mereka (kambing) pada jam 2 petang setiap hari untuk meragut rumput di sekitar kandang dan pada jam 6 petang nanti saya hanya menjerit ‘mai, mai, mai, lekas-lekas, up-up!’, semua kambing akan pulang sendiri ke kandang.

“Setakat ini, mereka hanya cam suara saya, jika suara orang lain mungkin agak susah sedikit dan terpinga-pinga jika dipanggil,” kata anak sulung daripada tiga beradik yang juga menambah pendapatan sebagai pembantu di kedai makan.

Kata Ahmad Zaidi, dia mengambil masa hampir enam bulan melatih kambingnya patuh pada arahan.

AHMAD Zaidi memanggil  kambing peliharaannya masuk ke kandang selepas meragut rumput di Kampung Semadong, Padang Besar. FOTO Azhar Ramli
AHMAD Zaidi memanggil kambing peliharaannya masuk ke kandang selepas meragut rumput di Kampung Semadong, Padang Besar. FOTO Azhar Ramli

“Sabar perkara yang paling utama dalam menternak kambing dan pada peringkat permulaan memang sukar memastikan kambing ikut arahan.

“Dari awal saya latih, itu perkataan yang digunakan sehingga mereka (kambing) terlatih dan kini untuk memanggil masuk kembali ke kandang hanya perlu menjerit saja,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya ada kambing peliharaan yang baru dibeli, dia akan mengurung haiwan berkenaan selama dua hari di kandang terlebih dulu.

“Ini bagi memastikan mereka cam bau tempat tidur dan makan mereka sebelum dilepaskan bersama kambing lain.

“Sesudah itu, baru mereka dilepaskan dan secara automatik hidup secara berkumpulan dan menurut arahan apabila dipanggil,” katanya.

 AHMAD Zaidi  memeriksa kambing peliharaan. FOTO Azhar Ramli
AHMAD Zaidi memeriksa kambing peliharaan. FOTO Azhar Ramli

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 6:41 AM