Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


Klang: Tidak hanya menyiapkan persalinan dan mendandan wajah malah bapa seorang anak, Syed Muhammad Shah Hasif Syed Othman turut memberi kejutan dengan menghadiahkan lima peti berisi barangan kemas kepada isteri tercinta, Fatin Syazwani Ishak sempena majlis sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga, semalam.

Kisah Syed Muhammad Shah Hasif, 29, atau dikenali sebagai Prince Syed Syahid mendapat perhatian netizen selepas berkongsi video sempena detik terindah itu di akaun TikTok miliknya.

Syed enggan berkongsi nilai barangan kemas diberi namun memberitahu hadiah itu adalah tanda penghargaan dan kasih sayang kepada isterinya yang kini berusia 23 tahun.

"Sambutan ulang tahun perkahwinan pertama kami dulu disambut ala kadar saja dan mengikut perancangan, saya mahu anjurkan majlis lebih meriah tahun lalu.

"Kad jemputan juga sudah diedar kepada tetamu namun keadaan pandemik yang membimbangkan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan majlis dirancang terpaksa dibatalkan.

"Hampa juga waktu itu dan oleh kerana sudah ada kelonggaran diberi kini, saya yakin ini masanya untuk gembirakan isteri dengan mengadakan sambutan ulang tahun perkahwinan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

SYED Muhammad (tengah) dan isteri, Fatin Syazwani  (kiri) serta kakaknya, Syarifah Nur Syafiqah (kanan) memegang hadiah barangan kemas yang diberi sebagai kejutan. FOTO ihsan pembaca
SYED Muhammad (tengah) dan isteri, Fatin Syazwani (kiri) serta kakaknya, Syarifah Nur Syafiqah (kanan) memegang hadiah barangan kemas yang diberi sebagai kejutan. FOTO ihsan pembaca

Menurut Syed, isterinya maklum mengenai penganjuran majlis cuma tidak tahu kejutan akan diberikan kepadanya.

Bagi memastikan perancangannya berjalan lancar, Syed berpakat dengan beberapa rakan yang hadir untuk memberi kejutan kepada Fatin Syazwani dalam majlis yang dihadiri tidak lebih 50 tetamu itu.

Syed bersyukur kerana apa dirancang menjadi dan lebih memberinya kepuasan adalah ketika melihat reaksi isterinya yang terharu menerima pemberiannya.

"Setiap peti itu sebenarnya berisi dua barangan kemas terdiri daripada rantai, gelang, subang dan cincin.

"Isteri sudah boleh agak saya akan beri hadiah namun bukan sebanyak itu. Jujurnya, saya tidak menganggap ia satu pembaziran kerana sudah lama pasang niat untuk hadiahkan isteri barangan kemas itu dan syukur dapat realisasikan hasrat saya.

"Saya percaya Allah akan lipat gandakan lagi rezeki jika ikhlas untuk gembirakan isteri," katanya yang juga usahawan produk diet Glittis Chocolate.

Berhubung kecaman diterima di TikTok, Syed berkata, dia sudah lali dengan komen negatif netizen dan enggan terlalu memikirkannya.

"Niat saya muat naik video itu adalah untuk berkongsi hari bahagia kami dan bukan riak atau sengaja menunjuk kemewahan.

"Video itu sekurang-kurangnya akan menjadi kenangan dan boleh ditonton lagi nanti terutama oleh anak kami. Saya percaya setiap suami ada cara tersendiri untuk memikat hati isteri dan ini cara saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 8:00 PM
SYED Muhammad memberi kejutan peti berisi barangan kemas kepada isterinya, Fatin Syazwani sempena majlis sambutan ulang  tahun ketiga perkahwinan mereka, semalam. FOTO ihsan pembaca
SYED Muhammad memberi kejutan peti berisi barangan kemas kepada isterinya, Fatin Syazwani sempena majlis sambutan ulang tahun ketiga perkahwinan mereka, semalam. FOTO ihsan pembaca