GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Sandakan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan merekodkan 37 kes tangkapan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan nilai rampasan dianggar melebihi RM1.2 juta.

Pemangku Ketua Pengarah APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata jumlah kes tangkapan itu hampir menyamai rekod kes pada 2022 serta 2023 iaitu masing-masing 47 kes dengan rampasan lebih RM86,000 dan 42 kes dengan rampasan lebih RM270,000.

Beliau berkata kejayaan tangkapan berkenan membuktikan pihaknya serius membanteras kegiatan jenayah serta salah laku di laut terutama di perairan Sandakan.

"Kejayaan kes tangkapan ini turut dibantu hasil maklumat daripada orang ramai khususnya komuniti maritim seperti nelayan yang mengetahui gerak-geri serta kegiatan yang berlaku di perairan negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Program Kembara Sahabat Maritim 2024 di Sekolah Kebangsaan Terusan Baru, Pulau Timbang di sini.

Beliau berharap komuniti maritim terus menjadi 'mata dan telinga' kepada APMM supaya kegiatan salah laku dan jenayah di laut dapat dibendung sekali gus memastikan perairan negara selamat.

"Saya berharap program bersama komuniti seperti Sahabat Maritim yang dilaksanakan pada 12 hingga 14 Julai dapat diadakan secara berkala agar kerjasama dan persefahaman antara APMM dan komuniti maritim dapat diperkukuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 5:17 PM