FOTO tular menunjukkan najis manusia di laluan antara kerusi penumpang.
FOTO tular menunjukkan najis manusia di laluan antara kerusi penumpang.
Agensi

Miami: Gara-gara seorang penumpang mengalami cirit-birit yang teruk, sebuah pesawat Delta Airlines, baru-baru ini, terpaksa berpatah balik ke Atlanta, hanya dua jam selepas ia berlepas menuju ke Barcelona, Sepanyol.

The Guardian melaporkan, berikutan kejadian itu, kru penyelenggaraan menghabiskan lima jam untuk melakukan kerja pembersihan, termasuk menggantikan karpet selepas pesawat terbabit selamat mendarat.

Kesemua penumpang termasuk individu yang mengalami cirit-birit itu dibenarkan menaiki semula pesawat selepas penerbangan itu tertangguh selama lapan jam, pada petang Sabtu.

Insiden itu mendapat perhatian selepas tular gambar di media sosial menunjukkan kru penerbangan melakukan yang terbaik untuk membersihkan ruang di dalam pesawat dengan tisu dan pembasmi kuman.

"Bagaimanapun, ia tetap menjadikan pesawat itu berbau najis," kata seorang penumpang.

Seorang lagi menggambarkan kru kabin terpaksa meletakkan tisu di atas lorong antara tempat duduk penumpang, dan ada penumpang perlu memanjat tempat duduk untuk mengelakkan terpijak najis ketika mereka keluar dari pesawat sebaik ia selamat mendarat di Atlanta.

Rakaman audio perbualan antara juruterbang dan menara kawalan trafik udara mendedahkan sebab pesawat itu berpatah balik secara tiba-tiba, ketika ia terbang di tengah Virginia.

"Ia hanya isu biobahaya. Kami mempunyai penumpang yang mengalami cirit-birit sepanjang perjalanan, jadi mereka mahu kami kembali ke Atlanta," kata juruterbang itu.

Rakaman audio itu dimuat naik ke platform X bersama dengan imej jalur penerbangan Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan (FAA), yang mengesahkan punca itu pesawat terpaksa berpatah balik.

Delta Airlines menyatakan pesawat itu berpatah balik atas "isu perubatan dalam kapal".

"Pasukan kami secepat mungkin untuk membawa penumpang ke destinasi terakhir mereka.

"Kami memohon maaf kepada penumpang atas kelewatan dan kesulitan untuk rancangan perjalanan mereka," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 11:41 AM