Sultan Sharafuddin  berkenan merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara di Concorde Hotel Shah Alam, semalam.
Sultan Sharafuddin berkenan merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara di Concorde Hotel Shah Alam, semalam.
Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu hakim dan pegawai syariah memikirkan satu transformasi supaya rakyat Nusantara mengiktiraf Mahkamah Syariah sebagai institusi perundangan yang mempunyai identiti dan bidang kuasa tersendiri.

Baginda bertitah, mahkamah itu perlu dipandang mulia dan dihormati sebagai badan kehakiman terunggul kepada umat Islam.

“Ia boleh dicapai jika hakim dan pegawai syariah mempunyai kelayakan dan dapat mengendalikan tugas dengan cemerlang serta berkualiti tinggi.

“Justeru, masyarakat tidak mempunyai ruang untuk mempertikaikan kredibiliti hakim dan pegawai syariah di Nusantara,” titah baginda ketika merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara di sini, semalam.

Hadir sama, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Tan Sri Dr Ibrahim Lembut dan Ketua Hakim Syarie Negeri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Turut hadir mewakili negara masing-masing, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Brunei Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Salim Awang Besar, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Singapura Mohamad H Rais; Ketua Kamar Peradilan Agama Mahkamah Agung Indonesia Prof Dr H Abdul Manan Chiklamkuta dan Ahli Anggota Fatwa Maktab Sheikhul Islam Bangkok, Thailand, Dr Maroning Salami.

Persidangan selama tiga hari bertemakan ‘Institusi Kehakiman dan Perundangan Syariah Mendepani Cabaran Globalisasi’ itu menghimpunkan lebih 380 peserta termasuk dari empat negara jiran yang memfokuskan kepada perbincangan mengenai pemerkasaan undang-undang syariah.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan hakim dan pegawai syariah menimba ilmu pengetahuan selaras dengan peredaran masa supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih efisien, mesra pelanggan serta mengutamakan sikap profesional ketika berdepan pelbagai situasi pelanggan.

“Komitmen yang bersungguh-sungguh bagi mencapai kesempurnaan turut penting bagi memudahkan lagi urusan dan mendapat kepercayaan serta pengiktirafan,” titah baginda

Baginda turut bertitah menyeru pakar kehakiman dan perundangan menterjemahkan objektif Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai had bidang kuasa Mahkamah Sivil daripada mencampuri urusan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 8:43 AM