Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail (kanan) melancarkan program Inisiatif Mysavefood 2024 peringkat negeri Kelantan di perkarangan Mydin Hipermall Tunjong. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail (kanan) melancarkan program Inisiatif Mysavefood 2024 peringkat negeri Kelantan di perkarangan Mydin Hipermall Tunjong. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Hampir 2.5 tan makanan dan minuman yang tidak terjual di empat bazar Ramadan dikumpulkan dalam tempoh dua minggu bermula 1 Ramadan lalu menerusi Program MySaveFood.

Makanan dan minuman itu dikumpulkan oleh sukarelawan daripada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) membabitkan Bazar Ramadan Rahmah di Mydin Hipermall Tunjong; Kubang Kerian; Pengkalan Chepa serta Pantai Irama (Bachok).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, program itu adalah sebagai satu usaha bagi menyelamatkan makanan dan minuman yang tidak habis dijual oleh peniaga di bazar Ramadan, serta mengelakkan pembaziran.

"Antara makanan yang berjaya dikumpulkan oleh sukarelawan ialah nasi berlauk, kuih muih, mi goreng dan berkuah, lauk bergoreng dan bakar, makanan barat, pencuci mulut dan air minuman.

"Lebihan makanan ini akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan seperti penduduk sekitar yang terdiri daripada golongan ansaf, rumah anak yatim, rumah kebajikan, masjid dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menginap di asrama.

"Program ini dilaksanakan dengan kerjasama sukarelawan dari tiga IPT di Kelantan iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Pengkalan Chepa dan Bachok serta Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dengan dibantu sukarelawan dari Pemuda Gema Negeri Kelantan," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 8:26 AM