Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Digital, Kementerian Komunikasi dan Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) sudah mengadakan perbincangan bagi mengukuhkan undang-undang sedia ada berkaitan isu buli siber.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said sudah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu, semalam.

Ini, katanya, berikutan hukuman denda maksimum RM100 yang diputuskan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, kelmarin dalam kes buli siber terhadap pempengaruh Rajeswary Appahu atau Esha menjadi perbincangan umum.

Susulan itu, Saifuddin berkata satu pengumuman penting akan diumumkan kerajaan dalam tempoh terdekat ini.

"Kami berempat (Menteri kementerian masing-masing) sudah meneliti tuntutan yang ada pada seksyen dan undang-undang negara berhubung isu buli siber termasuklah implikasi keputusan mahkamah berhubung kes membabitkan kematian seorang pempengaruh, baru-baru ini.

"Apa yang kita bincang adalah mengenai keputusan mahkamah dan denda berjumlah RM100 itu.

"Kami berpendapat perlu ada satu tindakan yang lebih berat berasaskan undang-undang dan seksyen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan sesi penyerahan surat keputusan kewarganegaraan kepada seorang kanak-kanak berusia 10 tahun Muhammad Danish Haiqal Abdul Rahman, di Flat Sri Kelantan, Jalan Sentul Pasar, di sini, hari ini.

Kelmarin, seorang wanita yang dikaitkan dalam kes buli siber terhadap pempengaruh Esha didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat.

Majistret Arunjothy M Selvaraju menjatuhkan hukuman itu terhadap Shalini Periasamy, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, perkara penting dalam menangani isu buli siber adalah menyampaikan mesej sebenar kepada rakyat.

"Ya kita mempunyai kekurangan di situ (denda ringan) tetapi ia bukan alasan untuk melihat aspek ini di sudut yang ringan.

"Lebih-lebih lagi kita lihat ada yang (pembuli) didenda RM100, keluar selamba dan tersenyum lagi, yang sudah tentu menghiris perasaan keluarga mangsa.

"Kita tidak mahu isyarat sedemikian disampaikan kepada rakyat," katanya.

Mengenai isu kumpulan aktivis yang menuntut keadilan atas kematian mendiang Teoh Beng Hock disekat daripada menghampiri bangunan parlimen di ibu negara, baru-baru ini, Saifuddin berkata, perkara itu sudah diselesaikan apabila Ketua Polis Negara menangguhkan untuk memanggil pihak yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 9:31 PM