THOIYIBAH Mohammad Ali menjaga ibu saudaranya, Asiah Salleh yang lumpuh dan memerlukan perhatian sejak lima tahun lalu di Kampung Tengah. FOTO Mohd Rafi Mamat
THOIYIBAH Mohammad Ali menjaga ibu saudaranya, Asiah Salleh yang lumpuh dan memerlukan perhatian sejak lima tahun lalu di Kampung Tengah. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


“SEBAGAI individu paling hampir, menjadi tanggungjawab saya menjaga ibu saudara yang terlantar sakit sejak lima tahun lalu kerana dia tidak mempunyai tempat bergantung.

“Tugas menguruskan rumah tangga tidak menjadi penghalang kepada saya untuk menjaga dia yang sudah dua kali diserang angin ahmar,” kata Thoiyibah Mohammad Ali, 42.

Katanya, sudah menjadi rutin harian memberi ibu saudaranya, Asiah Salleh, 68, minum susu khas menggunakan tiup melalui hidung sebanyak lima kali sehari selain menukar pakaian dan membersihkan kekotoran lain.

“Saya bukan keseorangan menjaga ibu saudara, adik beradik lain turut membantu, terutamanya sebelah malam dan hujung minggu.

“Bukanlah susah sangat untuk jaga, walaupun ibu saudara tidak mampu bercakap dengan jelas, namun kita boleh faham apa yang dia cakap,” katanya.

Dia yang tinggal di Kampung Tengah, dekat Kuantan berkata, ibu saudaranya itu menetap di Kampung Beserah, di sini, dan tidak pernah mendirikan rumah tangga, jadi apabila dia tidak sihat menjadi tanggungjawab anak saudara menjaganya.

Thoiyibah berkata, bantuan kewangan diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) selain sumbangan daripada sanak saudara yang datang melawat dapat meringankan beban untuk membeli susu dan lampin pakai buang.

“Setiap bulan, tiga tin susu khas berharga RM240 setiap satu, diperlukan dan dengan bantuan kewangan diterima dapatlah menampung perbelanjaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 11:11 AM