ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan penunggang motosikal yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Sungai Buloh, hari ini. FOTO Ihsan JBPM Selangor.
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan penunggang motosikal yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Sungai Buloh, hari ini. FOTO Ihsan JBPM Selangor.
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Lelaki meninggal dunia akibat tersepit di tayar belakang sebuah lori kontena di Jalan Sungai Buloh menghala Damansara Damai, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 8.16 pagi.

"Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, anggota mendapati terdapat kemalangan di lokasi yang membabitkan lori kontena dengan sebuah motosikal Honda EX5.

"Penunggang motosikal terbabit dikenali Danial Imran Kamarolzama berusia 31 tahun tersepit dan disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, anggota bertindak membawa keluar mangsa menggunakan peralatan 'air lifting bag' dan jentera lain.

"Kami mengambil masa beberapa minit bagi mengeluarkan mangsa sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 1:58 PM