JANGAN ambil mudah terhadap penyakit angin pasang.
JANGAN ambil mudah terhadap penyakit angin pasang.
ANGIN pasang berlaku akibat perjalanan angin dalam usus yang membuatkan usus bergerak dan mengembang.
ANGIN pasang berlaku akibat perjalanan angin dalam usus yang membuatkan usus bergerak dan mengembang.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Istilah angin pasang sering dikaitkan dengan benjolan yang mengandungi gumpalan usus yang kelihatan seperti kembang kuncup dan menjadikannya seperti satu benjolan membesar dan kemudiannya surut.

Dalam istilah perubatan, angin pasang dikenali sebagai hernia dan berlaku akibat perjalanan angin dalam usus yang membuatkan usus bergerak dan mengembang.

Benjolan akibat kemasukan usus itu kini terkeluar melalui pembukaan yang tidak normal dan masuk ke dalam satu ruang sehingga menjadi benjolan.

Semakin banyak usus itu masuk ke dalam ruang yang menjadi benjolan, semakin besar ia kelihatan.

Tanda awal angin pasang adalah kemunculan benjolan yang tenggelam timbul di beberapa tempat yang dikenali mudah mendapat hernia seperti kerandut buah zakar, celah paha dan pusat.

Menurut Pakar Sakit Tuan Dr Ismail Tambi, benjolan itu kelihatan lebih jelas ketika berdiri, meneran dan selepas makan.

Menurutnya, benjolan itu boleh disusutkan apabila usus dalam benjolan itu dapat ditolak masuk semula kembali ke dalam perut. Namun cara itu hanya untuk seketika dan ia mungkin boleh terkeluar semula selagi pembukaan antara perut dan benjolan itu kekal.

Dr Ismail berkata, rawatan tradisional, urutan atau ubat-ubatan herba, jampi serapah atau minyak urat tidak dapat membantu menyelesaikan masalah angin pasang.

"Tiada cara berkesan untuk merawatnya kecuali dengan menutup pembukaan tidak normal itu dan melalui pembedahan pembetulan. Dalam pembedahan ini, usus dalam benjolan dimasukkan kembali ke dalam perut melalui pembukaan yang wujud dan pembukaan itu ditutup.

"Pembukaan yang berlaku sebenarnya adalah bahagian otot yang menampung usus dalam perut menjadi lemah lalu menyebabkan usus dalam perut terkeluar.

"Apabila bahagian lemah itu diperkukuhkan kembali dan usus yang terkeluar dimasukkan ke tempat asalnya, hernia akan hilang dan tidak akan berlaku lagi,"ujarnya.

Menurut Dr Ismail, sesetengah hernia berlaku sejak seseorang itu dilahirkan atau selepas tempoh beberapa tahun namun sebahagian pula menghidap hernia pada pertengahan usia atau usia tua, malah ia juga boleh berlaku secara tiba-tiba.

"Sebahagian komponen besar hernia adalah organ dalam perut seperti usus kecil, usus besar atau lapisan lemak yang menyelaputi kedua-dua usus masuk ke bahagian abnormal ini.

"Memandangkan hernia mudah menyerang bayi lelaki, ibu bapa dinasihatkan peka terhadap keganjilan pada kemaluan anak mereka dan menghantar secepat mungkin ke pusat perubatan bagi mengelak ia menjadi lebih parah.

"Ramai ibu bapa cuba mengurut bayi mereka bagi mengurangkan benjolan, namun sebenarnya ia teknik salah kerana mengurut lebih memburukkan keadaan memandangkan ia membabitkan bahagian usus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 5:04 AM