25 wanita warga asing disyaki GRO ditahan penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan dua pusat hiburan di sekitar Bandar Klang. FOTO FAIZ ANUAR
25 wanita warga asing disyaki GRO ditahan penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan dua pusat hiburan di sekitar Bandar Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Klang: Dua pusat hiburan di Leboh Gopeng di sini, yang menjadi tumpuan lelaki tempatan untuk dapatkan layanan pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand dan Vietnam, digempur menerusi Op Gegar, malam tadi.

Serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor itu turut membongkar kegiatan tidak bermoral segelintir GRO terbabit yang menawarkan perkhidmatan seks secara sambilan kepada pengunjung selepas tamat waktu kerja.

Difahamkan, wanita terbabit melakukan perbuatan terkutuk itu bagi mencari pendapatan tambahan, di samping tip yang diterima bekerja sebagai GRO di pusat hiburan berkenaan.

Jika ada pengunjung yang berminat untuk perkhidmatan 'tambahan' itu, GRO berkenaan akan menetapkan kadar bayaran dan selepas dipersetujui oleh kedua-dua pihak, barulah mereka akan 'melayan' pelanggan terbabit.

Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi mendapati terdapat kalungan bunga dengan tanda harga mencecah RM500 dipercayai jumlah bayaran atau tip yang perlu diberikan kepada GRO terbabit, jika mahukan layanan untuk berhibur di premis itu.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, 25 wanita warga asing disyaki GRO ditahan itu terdiri daripada 13 warga Vietnam dan 12 warga Thailand.

Katanya, serbuan hasil risikan pihaknya selama dua minggu susulan aduan awam diterima berhubung kegiatan dijalankan di premis terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati premis itu mempunyai lesen untuk beroperasi dan berdasarkan rekod, ia pernah diserbu sebelum ini pada 2022.

"Siasatan mendapati kesemua wanita ini mempunyai pas dan melakukan kesalahan salah guna pas yang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Ada seorang daripada wanita ini miliki pas kerja sebagai pembantu rumah dan yang lain hanya miliki pas lawatan sosial, namun disyaki melakukan kerja sebagai GRO," katanya ketika ditemui di lokasi di sini, semalam.

Katanya, kesemua wanita berusia lingkungan 24 hingga 40 tahun terbabit akan direman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55 (1) b Akta Imigresen 1959/63.

Selain itu, sembilan pengunjung dan tiga pekerja warga tempatan turut diperiksa dan diberikan saman saksi bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 9:53 AM