GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abd Rahman Tajuddin

Jumhur ulama mufassirin menafsirkan bahawa insan yang bertemu Nabi Musa AS dalam Surah al-Kahfi adalah Nabi Khidir AS.

Dalam ayat 60-82 Surah al-Kahfi menceritakan Nabi Musa AS bertemu seseorang yang dirahmati oleh Allah SWT. Insan itu terus melakukan perjalanan yang jauh setelah berpisah dengan Nabi Musa AS.

Menerusi Surah al-Kahfi, ayat 65 bermaksud: "Lalu mereka berdua (Nabi Musa AS) bertemu dengan seorang hamba (Nabi Khidir AS) di antara hamba Kami yang Kami berikan rahmat kepadanya daripada sisi Kami dan yang Kami ajarkan ilmu kepadanya daripada sisi Kami."

Ayat ini menjelaskan Nabi Musa AS menemui dan sempat berjumpa Nabi Khidir AS ini yang terus melakukan perjalanan.

Sheikh Al-Athiyah yang juga ulama besar al-Azhar menyatakan mengenai peristiwa berkenaan: "Al-Quran mengisahkan seorang hamba di antara hamba Allah yang berjumpa dengan Nabi Musa AS dijelaskan dalam Surah al-Kahfi yang ertinya: 'Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba Kami yang Kami berikan kepadanya rahmat daripada sisi Kami dan yang Kami ajarkan kepadanya ilmu daripada sisi Kami.' Hadis sahih seperti al-Bukhari, Ahmad dan Tirmidzi menjelaskan 'hamba' ini adalah Khidir (hijau). Disebut Khidir kerana jika ia duduk di atas tanah yang tandus akan tumbuh pepohonan yang hijau." Fatawa al-Azhar 10 / 425

Dalam kitab Fatawa al-Azhar yang menghimpunkan fatwa al-Azhar menyatakan insan berkenaan adalah Nabi Khidir AS yang sentiasa hidup dan sentiasa 'menghijau' (hidup).

Badiuzzaman Said Nursi di dalam Maktubat, al-Maktub al-Awwal daripada koleksi Rasail al-Nur menyatakan bahawa kehidupan (hayat) itu ada 5 jenis iaitu:


1. Peringkat kehidupan manusia biasa yang terikat dengan masa dan tempat. Ia membabitkan semua manusia secara umum.

2. Peringkat kehidupan manusia yang dikhususkan. Mereka mempunyai sedikit kebebasan daripada ikatan seperti kita. Mereka boleh berada di pelbagai tempat dalam satu masa. Mempunyai wilayah tersendiri seperti Nabi Khidir AS dan Nabi Ilyas AS.

3. Peringkat kehidupan nurani yang menghampiri hayat malaikat seperti Nabi Idris AS dan Nabi Isa AS.

4. Peringkat kehidupan rohani yang sentiasa diberikan rezeki oleh Allah SWT ialah kehidupan golongan syuhada.

5. Peringkat kehidupan rohani ahli kubur yang telah meninggal.


Pembahagian kehidupan ini membuktikan Nabi Khidir AS masih hidup kerana dikhususkan oleh Allah SWT.

Imam al-Nawawi, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Ibn al-Šalah, al-Tsa'labi dan majoriti ulama menyatakan Nabi Khidir AS masih hidup dengan jasadnya. Ia akan diwafatkan sebagai manusia pada akhir zaman.

Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menyanggah pendapat orang yang menganggap Nabi Khidir AS wafat kerana terlalu banyak riwayat yang menyatakan mengenai hidupnya Nabi Khidir AS yang terus-menerus melakukan perjalanan di dalam ilmu laduni.

Imam Nawawi menyatakan dengan jelas Nabi Khidir AS masih hidup dengan jasad dan ruhnya berdasarkan beberapa riwayat sahih.

Beliau dalam Syarah Muslim Juz 15, Bab Kelebihan Nabi Khidir AS menyatakan: "Jumhur ulama berpendapat bahawasanya dia (Nabi Khidir) hidup dan wujud dalam kalangan kita. Pendapat ini disepakati oleh ahli tasawuf dan ahli soleh serta makrifat (ahli kebajikan dan makrifah). Cerita mereka mengenai melihat, bertemu baginda, mengambil pengajaran, bersoal jawab dengan baginda, kehadiran baginda di tempat yang mulia dan tempat kebajikan adalah terlalu banyak daripada dihitung serta terlalu masyhur daripada boleh ditutup. Berkata as-Sheikh Abu Umar bin as-Sholah: 'Dia (Nabi Khidir) hidup menurut jumhur ulama muktabar dan orang soleh serta orang awam adalah berserta mereka dalam pegangan ini.' Dia juga berkata: "Bahawasanya adalah satu pandangan yang ganjil daripada sesetengah muhaddisin pada mengingkari hal ini (yakni sebahagian ahli hadis mengingkari Nabi Khidir masih hidup)."Syarah Muslim, Juz Ke-15, muka surat 135–136

Imam as-Suyuti menyebut dalam Luqtul Marjaan daripada Sayyidina Ibnu Abbas RA sebagai berkata: "Nabi Khidir AS dan Nabi Ilyas AS bertemu pada setiap tahun pada musim haji dan mereka berdua berpisah atas kalimah ini: "Dengan nama Allah, sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki Allah, tidak ada yang mendatangkan kebaikan melainkan Allah. Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki Allah, tidak ada yang menolak kejahatan melainkan Allah. Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki Allah, setiap kenikmatan adalah daripada Allah. Sesuatu itu menurut apa yang dikehendaki Allah, tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan Allah." Lantas Ibnu Abbas RA berkata: "Sesiapa yang membaca doa ini ketika pagi dan petang sebanyak tiga kali, Allah akan mengamankan dia daripada tenggelam (lemas), kebakaran, kecurian, kejahatan syaitan, penguasa, ular serta kala jengking." Sheikh Muhammad Amin Kurdi dalam kitab Tanwirul Qulub, halaman 422

Kisah ini jelas menyatakan Ibn Abbas RA yang juga sahabat Rasulullah SAW terdekat meyakini Nabi Khidir AS masih hidup. Riwayat ini juga disebut oleh Ibnu Asakir.

Abu Ishaq As-Tha'labi, seorang ahli tafsir berkata: "Dikatakan Nabi Khidir AS tidak akan wafat kecuali pada akhir zaman iaitu sewaktu al-Quran di angkat ke langit."

Ibnu Solah berkata: "Nabi Khidir AS masih hidup dalam kalangan ulama dan bergaul dengan mereka." Amru bin Dinar pula berkata: "Sesungguhnya Nabi Khidir AS dan Nabi Ilyas AS kedua-duanya masih hidup selagi masih ada al-Quran sehinggalah diangkat ke langit barulah mereka wafat."

Al-Yafi'ie pula berpendapat: "Sesungguhnya aku mendengar seorang sheikh besar iaitu Najmuddin al-Asfahani berada di belakang kubur Nabi Ibrahim AS menyatakan Nabi Khidir AS memohon Allah SWT agar dicabut nyawanya ketika al-Quran di angkat ke langit."

Wujud empat orang dalam kalangan nabi yang masih hidup, dua berada di langit iaitu Nabi Isa AS dan Nabi Idris AS manakala dua lagi berada di bumi iaitu Nabi Khidir AS di lautan serta Nabi Ilyas di daratan.

Wujud riwayat yang menyatakan menjelang kewafatan Rasulullah SAW, hadir Nabi Khidir AS yang menyampaikan takziah dan Saidina Ali RA bertanya kepada orang lain hal itu: "Tahukah kalian siapa dia? Dia adalah Nabi Khidir AS. " Hadis Riwayat al-Baihaqi dalam Dalail an-Nubuwwah dan Ibn Sa'd dalam Thabaqat al-Kubra

Al-Hafidz al-Bushiri menilai perawi riwayat berkenaan semuanya thiqah iaitu boleh dipercayai. Dalam Tafsir al-Khazin, menyatakan sememangnya ulama berbeza pandangan dalam menyatakan sama ada Nabi Khidir AS masih hidup atau tidak.

Lantas menyatakan hampir majoriti ulama muktabar dan ahli tasawuf menyatakan Nabi Khidir AS masih hidup berdasarkan riwayat yang sahih: "Terjadi perbezaan pendapat di antara ulama adakah Nabi Khidir AS masih hidup atau sudah mati? Dikatakan bahawa Nabi Khidhir AS masih hidup dan itu perkataan/pendapat jumhur (majoriti) ulama.

"Dan itu merupakan kesepakatan bagi para guru sufi (ahli tasawuf) dan ahli kebaikan serta ahli makrifat. Begitu juga cerita tentang terlihatnya Nabi Khidir dan berkumpulnya serta masih kelihatan di tempat mulia dan tempat baik yang banyak tidak terhitung." Tafsir Khazin, Juz 3, Halaman 209

Hampir keseluruhan ulama menyatakan Nabi Khidir AS masih hidup berdasarkan beberapa riwayat yang sahih. Bagaimanapun, masih wujud golongan yang sering melawan ulama muktabar hanya dengan alasan tidak wujud di dalam Sahih Bukhari dan Muslim. Agenda mereka tidak lain tidak bukan ingin mematikan konsep ihsan dalam ilmu tasawuf yang mempunyai Dhauqiyyah Laduniyyah.


Penulis Felo Pusat Naratif Menangani Ekstremisme (Concave), Institut Pengajian Islam dan Strategik (ISSI)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 6:01 AM