FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perniagaan di Malaysia secara amnya kekal optimistik pada suku kedua 2024, melihat pendekatan penyasaran semula subsidi diesel nampaknya mempunyai kesan minimum terhadap sentimen, menurut satu tinjauan.

Tinjauan Indeks Keyakinan Perniagaan (BCI) RAM-CTOS suku kedua 2024 yang meliputi 109 responden menunjukkan indeks keseluruhan mencatatkan 54.0 berbanding 53.4 pada suku pertama 2024, kekal di atas paras neutral 50 untuk suku kedua berturut-turut.

"Sentimen korporat mencapai paras tertinggi 59.3 menjelang suku kedua 2024, menokok berbanding 57.1 pada suku pertama 2024, manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kekal optimistik pada 52.6, turun daripada 53.0 pada suku sebelumnya," kata RAM Holdings Bhd dan CTOS Data Systems Sdn Bhd melalui satu kenyataan bersama hari ini.

Responden lebih yakin tentang prospek prestasi perniagaan mereka pada suku kedua 2024, dengan peningkatan dari suku ke suku dalam kedua-dua jualan (+2.1 mata kepada 56.4) dan sub-indeks keuntungan (+1.5 mata kepada 50.5).

Bagaimanapun, sentimen keuntungan kekal agak lemah, hanya di atas paras neutral 50, dihalang oleh tekanan kos yang berterusan.

"Kenaikan kos menjalankan perniagaan terus mendahului senarai cabaran, ini disebut oleh hampir 80 peratus daripada 109 responden, walaupun ini adalah penurunan berbanding 90 peratus pada suku sebelumnya," katanya lagi.

Mengenai pendekatan penyasaran semula subsidi diesel yang dilaksanakan pada 10 Jun lepas, tinjauan itu menunjukkan indeks sentimen keseluruhan bagi korporat serta PKS masing-masing berjumlah 58.0 dan 52.9.

"Respons yang diterima selepas 10 Jun menunjukkan indeks sentimen yang lebih tinggi untuk korporat pada 60.7, manakala sentimen PKS menyusut pada 52.2, mencerminkan bahawa penyasaran semula subsidi diesel baru-baru ini nampaknya tidak menjejaskan sentimen responden ini," katanya.

Tinjauan suku kedua 2024 telah dijalankan mulai 27 Mei hingga 18 Jun 2024.

Mengenai jangkaan penghapusan subsidi menyeluruh RON95 akan datang, kenyataan itu berkata 67 peratus daripada 109 firma yang ditinjau mengunjurkan kenaikan harga bagi produk atau perkhidmatan mereka, dengan kira-kira 70 peratus responden melaporkan bahawa RON95 membentuk sehingga 10 peratus daripada keseluruhan kos perniagaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 2:48 PM