TANGKAP layar kejadian yang tular di media sosial.
TANGKAP layar kejadian yang tular di media sosial.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Enam suspek dipercayai merusuh ditahan dalam lima serbuan di sini sejak semalam hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek adalah lelaki berusia 21 hingga 26 tahun.

"Dalam serbuan dari 4.30 petang semalam hingga 2 pagi tadi, kita menahan enam suspek dipercayai terlibat dalam kes merusuh dan mendatangkan kecederaan.

"Dalam serbuan tersebut pihak polis juga merampas enam telefon bimbit pelbagai jenis dan dua batang besi yang digunakan dalam rusuhan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Raub, polis sedang mengesan beberapa lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes ini.

Katanya kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati empat individu yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah, manakala dua orang lagi suspek masing-masing mempunyai dua rekod kes dadah.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus di talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Anthony di talian 013- 5781125,"katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, tular video 30 saat menunjukkan sekumpulan lelaki merosakkan kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum bergaduh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 4:45 PM