CHE Fauzi bersama isteri, Noor Azizah menunjukkan produk 'Colek Sis Comel' yang dijual untuk menampung kelangsungan hidup mereka. FOTO Noorazura Abdul Rahman
CHE Fauzi bersama isteri, Noor Azizah menunjukkan produk 'Colek Sis Comel' yang dijual untuk menampung kelangsungan hidup mereka. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Pendang: Lahir dengan kecacatan fizikal tidak melemahkan pasangan suami isteri ini untuk mencari rezeki.

Che Fauzi Abdullah, 48, yang juga bekas atlet angkat berat para Sukan Malaysia (Sukma) Kedah berkata, selepas bersara dalam sukan itu pada 2011, dia memilih bekerja di bengkel ubah suai kereta orang kurang upaya (OKU) di Alor Setar.

Manakala isterinya Noor Azizah Zainol, 40, membantunya dengan menjual pencicah buah atau garam belacan dari rumah.

"Saya dan isteri tidak boleh berjalan sejak kecil, kami menggunakan kerusi roda. Isteri saya mengidap penyakit tulang rapuh, dia tidak boleh jatuh atau mengangkat barang berat, sudah banyak kali tulangnya patah dan perlu pemeriksaan doktor secara berkala.

"Saya pula hanya bekerja mengikut tempahan, jika ada tempahan saya akan pergi bengkel, dalam seminggu saya akan kerja tiga atau empat hari saja," katanya yang tinggal di Kampung Banggol Basin di sini.

Che Fauzi berkata, dia memiliki kemahiran memasak, menjahit termasuk membina rumah mengikut tahap kemampuannya.

Katanya, dia mempelajari kemahiran itu di Pusat Pemulihan Cheras (PPC) ketika remaja biar pun ketika itu seorang yang buta huruf.

"Apabila menginjak dewasa, saya mula belajar membaca sendiri menerusi televisyen, kemudian saya berkenalan dengan isteri menerusi Facebook dan kami memutuskan untuk berkahwin pada 2019," katanya.

Sementara itu, Noor Azizah berkata, dia berhasrat membuka bengkel di rumahnya bagi memudahkan dia menghasilkan garam belacan.

Katanya, dia dan suami menerima elaun pekerja cacat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 seorang namun mereka perlu terus bekerja untuk menerima elaun berkenaan.

"Pergerakan saya agak terhad di dapur selain bimbang akan jatuh dan patah tulang, saya perlukan bengkel yang mesra OKU, sekarang saya kurang mengambil tempahan kerana kesukaran saya menghantar tempahan termasuk mengirim tempahan menerusi khidmat kurier.

"Saya ada jual produk saya yang dinamakan 'Colek Sis Comel' secara dalam talian, cuma kekangan saya untuk pos barang, sekiranya ada bengkel sendiri, saya lebih mudah sediakan produk saya dalam kuantiti yang banyak, jadi saya tidak perlu berulang-alik untuk pos barang.

"Buat masa sekarang saya tidak boleh jana pendapatan tetap lagi, saya harap ada agensi atau individu yang dapat bantu saya," katanya.

Bagi orang ramai yang ingin membantu pasangan ini, mereka boleh dihubungi menerusi nombor 0125508387.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 12:17 PM