CHE  Sabri Che Jaafar menyiapkan tempahan baju pelanggannya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
CHE Sabri Che Jaafar menyiapkan tempahan baju pelanggannya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Terkurung di sebalik tirai besi selama 20 tahun bukanlah sekadar destinasi kepada bekas banduan Al-Maunah ini memperbaiki kekhilafan diri, ia juga tempat buat dirinya mencungkil kemahiran untuk hidup berdikari.

Che Sabri Che Jaafar, 50, yang dibebaskan pada 17 Ogos lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kini bangkit dan melupakan kisah hitamnya dengan mengusahakan kedai jahit sejak awal bulan ini.

Anak ketujuh daripada 11 beradik ini beruntung kerana pernah mendapat latihan dan kemahiran menjahit pakaian ketika berada di dalam penjara apabila memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang jahitan.

Che Sabri mulanya menerima SKM sebagai Pembuat Pakaian Lelaki Tahap Satu pada 2013 kemudian Pembuat Pakaian Lelaki Kanan Tahap Dua pada 2017 selepas mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan dalam Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Katanya, pada awalnya memang agak kekok terutama untuk mendapatkan ukuran badan, memotong kain dan menjahit kerana tidak mempunyai asas dalam jahitan.

Bagaimanapun, katanya, selepas mengikuti bengkel jahitan yang disediakan penjara, lama kelamaan ia menjadi satu kebiasaan dan boleh menguasainya.

"Ketika berada di dalam penjara, saya juga mengikuti program pembangunan ihsan bengkel jahitan serta bekerja di bengkel jahitan dengan kadar upah yang diperoleh sekitar RM30 sehari daripada pihak penjara.

"Sepanjang menjalani hukuman, saya bertekad untuk memiliki dan membuka kedai jahit sendiri selepas dibebaskan serta akan menggunakan ilmu dan kemahiran jahitan yang dipelajari sebagai sumber untuk menjana pendapatan," katanya ketika ditemui di kedai jahitnya di Pekan Pulai Chondong, di sini, semalam.

Che Sabri berkata, menerusi kemahiran dan aspek kerohanian yang dipelajari di sebalik tirai besi, ia banyak membantunya untuk berhadapan dengan khalayak tanpa rasa rendah diri, sekali gus membina kehidupan baharu.

"Namun, apa yang penting adalah kemahuan dan juga keyakinan diri. Saya mula membuka kedai jahit pada awal bulan ini dengan bermodalkan RM200 menggunakan wang yang diperoleh hasil upah menjahit ketika berada di dalam penjara manakala kakak (Noraini Che Jaafar, 66) sanggup memberi pinjam mesin jahitnya kepada saya.

"Setakat ini, saya sudah mendapat lebih 20 tempahan baju lelaki untuk dijahit seperti baju kemeja, batik dan jubah. Upah yang diambil adalah di antara RM50 hingga RM120 bagi sepasang baju," katanya yang merancang untuk mencari pekerja bagi membantunya.

Che Sabri berkata, pada masa sama, dia turut menjaga ibunya, Rohmah Karim, 78, yang sudah uzur.

"Saya mahu memberi sepenuh perhatian kepada ibu yang terlantar sejak tiga tahun lalu disebabkan sakit tua, selain kedua-dua matanya juga kabur.

"Walaupun ada adik-beradik lain, biarlah saya yang menjaga dan menguruskan segala keperluan ibu memandangkan sudah 20 tahun saya terlepas peluang berbakti kepadanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 3:45 PM