ORANG ramai berpusu-pusu melihat Tarantula yang dipamerkan oleh Mildef dan beratur panjang semata-mata ingin merasai pengalaman menaiki kenderaan berkenaan yang dipamerkan di Auto Show 2024 baru-baru ini. FOTO ihsan pembaca
ORANG ramai berpusu-pusu melihat Tarantula yang dipamerkan oleh Mildef dan beratur panjang semata-mata ingin merasai pengalaman menaiki kenderaan berkenaan yang dipamerkan di Auto Show 2024 baru-baru ini. FOTO ihsan pembaca
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Ribuan pengunjung pameran Malaysia Autoshow 2024 teruja apabila dapat melihat lebih dekat kenderaan perisai buatan syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef).

Dua varian kenderaan berperisai buatan Mildef yang dipamerkan ialah kenderaan berperisai mobiliti tinggi (HMAV) Tarantula dan kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) Rentaka.

Memandangkan Malaysia Autoshow 2024 adalah pameran automotif maka kehadiran dua kenderaan perisai ini disifatkan sebagai luar biasa.

Ribuan pengunjung ingin tahu kebolehan syarikat Bumiputera membangunkan kenderaan perisai.

Pengarah Urusan Mildef, Datuk Seri Mohd Nizam Kasa berkata, Mildef mendapat jemputan daripada pihak penganjur Malaysia Autoshow 2024 iaitu Institut Robotik Automotif dan IoT (MARii) untuk mempamerkan produk keluaran tempatan dalam industri pertahanan.

Katanya, ini adalah kali pertama Mildef menyertai pameran automotif di MAEPS dan sambutan adalah sangat memberangsangkan.

"Kenderaan Tarantula yang dipamerkan adalah varian awal manakala yang terkini dibuat pengubahsuaian mengikut spesifikasi dan keperluan Tentera Darat.

"Tarantula dikendalikan tiga kru boleh membawa penumpang atau anggota tentera dengan laluan keluar masuk melalui pintu sisi dan belakang kenderaan," katanya dalam kenyataan media.

Tarantula melalui pelbagai ujian daripada kumpulan uji nilai Tentera Darat dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Mohd Nizam berkata, HMLTV Rentaka pula bersaiz kecil sedikit dengan tahap perlindungan agak ringan berbanding Tarantula.

Menurutnya, HMLTV juga sudah melepasi ujian mobiliti, ujian tembakan dan ujian tahap perlindungan.

"Menerusi penyertaan ini kita berjaya mengubah tanggapan rakyat berkaitan kemampuan negara dalam menghasilkan kenderaan perisai di dalam Malaysia.

"Juga membuat pengunjung kagum dengan hasil rakyat Malaysia dan kepakaran anak Melayu tempatan dalam menghasilkan kenderaan perisai 4x4 dan lain-lain.

"Harapan saya dengan teknologi tempatan ini memberi kelebihan kepada kami untuk membekal kepada negara produk pertahanan dari Malaysia, buatan Malaysia untuk Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 4:26 PM