Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kereta Perisai Mobiliti Tinggi (HMAV) 4x4 yang juga kenderaan berperisai pertama buatan Malaysia diberi nama Tarantula dan ia dibina khas bersesuaian dengan iklim dan cuaca di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenderaan berperisai mobiliti tinggi itu dibina menggunakan sepenuhnya teknologi dan kepakaran anak Malaysia.

"Kenderaan berperisai pertama Malaysia ini melalui pelbagai penilaian seperti ketahanan di lebuh raya, penggunaan minyak, ujian muatan, kecekapan penggunaan takal, ujian mendaki serta cerun dan penggunaan brek termasuk ujian fording.

"Ujian berlangsung sembilan hari merangkumi perjalanan sejauh 700 kilometer (km) di atas jalan raya dan 300km secara off-road termasuk beberapa ujian berhalangan lain.

"Tatacara pelaksanaan uji nilai mengikut piawaian ditetapkan Tentera Darat Malaysia setanding pelaksanaan di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penamaan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi (HMAV) 4x4 di Kem Perdana Sungai Besi di sini, semalam.

Menurutnya, kenderaan berperisai itu diberi nama Tarantula iaitu kumpulan labah-labah bertaring yang besar dan berbulu seperti spesies Malaysian Earthtiger Tarantula yang unik dan hanya ditemui di Semenanjung Malaysia.

"Dengan keupayaan lasak untuk bergerak pantas atas pelbagai bentuk muka bumi dengan mencapai kelajuan 110km/jam, Tarantula terbukti mampu melaksanakan misi penting ketenteraan serta memberi perlindungan kepada pengendali dan kru kenderaan ini.

TARANTULA dilengkapi sistem persenjataan moden.
TARANTULA dilengkapi sistem persenjataan moden.

"Tarantula dibina berlandaskan pelantar modular dengan rangkaian spesifikasi daripada asas sehingga paling canggih untuk memudahkan pengubahsuaian serta memenuhi spesifikasi mana-mana negara yang ingin menggunakan aplikasi berkenaan," katanya.

Ismail Sabri berkata, dilengkapi dengan sistem persenjataan moden bersama pelancar bom, Tarantula direka cipta menggunakan sistem Stesen Senjata Kawalan Jauh yang membolehkannya menembak secara 360 darjah semasa bertempur.

"Ini memberikan keupayaan menembak sasaran dengan sistem kawalan jauh dengan bantuan skrin paparan supaya penembak terlindung sepenuhnya," katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, kementeriannya belum membuat sebarang perolehan bagi mendapatkan Tarantula sebagai satu daripada aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kita belum buat perolehan pembelian dalam negara. Kita (Kementerian Pertahanan) belum terima tawaran pembelian Tarantula. Kita akan jalankan ujian lain melalui ATM," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya memberi jaminan kerajaan akan memberi fokus kepada pembelian produk pertahanan dihasilkan anak tempatan.

TARANTULA  mempunyai kadar perlindungan perisai daripada peluru, balistik, bom tangan dan periuk api.
TARANTULA mempunyai kadar perlindungan perisai daripada peluru, balistik, bom tangan dan periuk api.

Jelasnya, ia memberi kelebihan kepada kerajaan untuk menjadikan Malaysia antara negara pengeluar produk pertahanan, sekali gus mengurangkan kebergantungan dengan negara luar.

"Sebelum ini kita berjaya hasilkan peluru, komponen pesawat dan kita sedang bina kapal perang. Daripada segi fokus, kerajaan akan lebih beri perhatian dalam industri pertahanan.

"Saya beri jaminan industri pertahanan membabitkan anak tempatan (seperti) Mildef (MILDEF International Technologies) akan jadikan keluaran Malaysia satu kelebihan (mendapatkan) perolehan kementerian," ujarnya lagi.

Tarantula seberat 14 tan dihasilkan Mildef dalam tempoh empat tahun penyelidikan dan pembangunan menelan belanja RM16 juta.

Menggunakan enjin turbo diesel 6.6-liter 6-selinder sebaris daripada Caterpillar, Tarantula mampu beroperasi daripada suhu serendah -21 darjah Celsius hingga 49 darjah Celsius.

Tarantula juga mempunyai kadar perlindungan perisai daripada peluru, balistik, bom tangan dan periuk api.

ISMAIL Sabri menaiki Tarantula ketika majlis penamaan di Kem Perdana Sungai Besi, semalam.
ISMAIL Sabri menaiki Tarantula ketika majlis penamaan di Kem Perdana Sungai Besi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 6:00 AM