Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kaedah digunakan kerajaan untuk hanya membenarkan rakyat Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin Covid -19 merentas negeri dan ke luar negara dilihat mampu menarik lebih banyak pendaftaran untuk mengambil suntikan itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, insentif seperti itu akan membuka lebih banyak penyertaan untuk mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin.

"Kalau boleh insentif seperti ini (suntikan dua dos vaksin), saya ingat ramai yang akan daftar.

"Bagaimanapun, semuanya akan kami bincangkan dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebab saya pun tahu perkara ini melalui news (berita), tapi mungkin (PM) dan bincang dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), jadi saya tidak boleh ulas perkara yang saya dengar dari luar," katanya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan, rakyat Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 bukan sahaja akan dibenarkan merentas negeri, malah dijangka boleh ke luar negara tertentu, dengan syarat mereka memiliki sijil pengesahan.

Kerajaan juga sudah berbincang dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat negara ini melakukan perjalanan ke negara terbabit.

Sijil akan diberikan bagi membuktikan individu itu sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, sekali gus menjadi 'pasport' untuk mereka bergerak.

Ismail Sabri berkata, pihaknya tidak berbincang secara menyeluruh mengenai kelebihan yang diperoleh individu yang menerima vaksin lengkap itu.

"Kita tidak bincang secara menyeluruh lagi mengenai advantage (kelebihan) daripada yang dapat vaksin dua kali.

"Mungkin pandangan PM (Perdana Menteri) semalam boleh laksanakan perjalanan negeri dan luar negeri, saya rasa ramai yang daftar sekarang mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

"Saya percaya PM akan bincang perkara ini secara detail (lanjut) minggu depan," katanya pada sidang media selepas selesai Majlis Penamaan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi (HMAV) 4X4 Pertama Malaysia di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Kenderaan berperisai pertama buatan Malaysia diberi nama Tarantula HMAV4x4 dan dibina khas bersesuaian dengan iklim dan cuaca di negara ini.

Ia juga dibina menggunakan sepenuhnya teknologi dan kepakaran anak Malaysia.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan isyarat bagus ketika menaiki kereta perisai yang dinamakan ‘Tarantula’ pada Majlis Penamaan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi 4x4 (HMAV4x4) Pertama Malaysia di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi. FOTO Aizuddin Saad
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan isyarat bagus ketika menaiki kereta perisai yang dinamakan ‘Tarantula’ pada Majlis Penamaan Kereta Perisai Mobiliti Tinggi 4x4 (HMAV4x4) Pertama Malaysia di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi. FOTO Aizuddin Saad

Tarantula HMAV4x4 dilengkapi dengan sistem persenjataan moden bersama pelancar grenade, kenderaan berperisai itu direkacipta menggunakan sistem Stesen Senjata Kawalan Jauh yang membolehkannya menembak secara 360 darjah semasa bertempur.

Tarantula seberat 14 tan itu dihasilkan Mildef dalam tempoh empat tahun penyelidikan dan pembangunan yang menelan belanja RM16 juta.

Menggunakan enjin turbo diesel 6.6-liter 6-selinder sebaris dari Caterpillar, Tarantula mampu beroperasi dari suhu serendah -21 darjah Celsius hingga 49 darjah Celsius.

Kenderaan itu juga mempunyai kadar perlindungan perisai daripada peluru, balistik, bom tangan dan periuk api.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 4:06 PM