HANAFIAH MAT
HANAFIAH MAT
BERNAMA

KERAJAAN Negeri Terengganu memperuntukkan RM1 juta untuk melaksanakan program Walimatulurus Perdana 2020 dengan sasaran 400 pasangan pengantin, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata anak muda yang ingin melangsungkan perkahwinan dipelawa menyertai program itu dengan membuat permohonan di pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di daerah masing-masing.

“Antara syaratnya ialah pemohon atau pasangannya mestilah rakyat Terengganu atau untuk mereka yang bermastautin lebih 10 tahun, perlulah mendapatkan pengesahan daripada wakil rakyat, penghulu atau ketua kampung.

“Pemohon dan pasangannya mestilah berusia 18 tahun ke atas dan perkahwinan kali pertama sahaja yang layak menyertai program ini,” katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, syarat pendapatan pemohon bersama pasangan mestilah di bawah RM3,000 manakala pendapatan ibu bapa pemohon dan pasangan tidak melebihi RM5,000 sebulan.

Menurutnya, peserta program akan menerima faedah antaranya caruman wang RM1,000 untuk setiap pasangan, khidmat jurunikah, satu set persalinan pakaian semasa akad nikah, pakej set perkahwinan seperti pelamin, kad jemputan dan khidmat jurugambar selain boleh menjemput 100 tetamu pada majlis resepsi.

Katanya, bakal pengantin yang berminat menyertai program itu perlu membuat permohonan segera sebelum Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 4:46 PM