GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1.2 juta untuk perbelanjaan mengurus dan pengoperasian bengkel pemulihan kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, bengkel pemulihan kebajikan di Marang itu ditubuhkan kerajaan bagi memberi latihan kemahiran dan pemulihan kepada OKU terutama anak-anak golongan berkenaan yang keciciran dalam pendidikan.

Katanya, berdasarkan data diperoleh melalui Sistem Maklumat OKU (SMOKU), terdapat 34,827 golongan itu didaftarkan di seluruh negeri.

"Daerah Kuala Terengganu mencatatkan jumlah pendaftaran OKU tertinggi iaitu seramai 11,002 orang, Besut (5,553), Kemaman (5,242), Dungun (4,537), Marang (3,693), Hulu Terengganu (2,607) dan Setiu (2,193)," katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buluh Gading, Ridzuan Hashim pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Maliaman yang juga Adun Ajil berkata, masalah pembelajaran adalah kategori OKU tertinggi yang didaftarkan iaitu seramai 15,390, fizikal (9,664), penglihatan (2,952), pendengaran (2,556), mental (2,513), pelbagai (1,564) dan pertuturan (187).

Katanya, sebanyak 47 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang menjalankan program kepada kanak-kanak OKU dengan bilangan pelatih 1,178 orang diwujudkan di seluruh negeri.

"Kita juga mewujudkan enam pusat jagaan OKU yang berdaftar dengan Akta Pusat Jagaan (APJ) 1993 dan menempatkan seramai 117 orang.

"Peruntukan dan penubuhan bengkel pemulihan untuk golongan OKU membuktikan kerajaan tidak meminggirkan golongan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 1:42 PM