SAIFFUL Pathil (kiri) bersama urusetia pertandingan memilih pokok tembusu yang akan dipanjat peserta Pertandingan Memanjat Pokok Asia Pasifik (APTCC) 2024 di Kelab Golf Diraja Pahang. FOTO Mohd Rafi Mamat
SAIFFUL Pathil (kiri) bersama urusetia pertandingan memilih pokok tembusu yang akan dipanjat peserta Pertandingan Memanjat Pokok Asia Pasifik (APTCC) 2024 di Kelab Golf Diraja Pahang. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Perbadanan Taman Negeri Pahang dengan kerjasama Persatuan Arborist Malaysia menganjurkan Pertandingan Memanjat Pokok Asia Pasifik (APTCC) 2024 di Kelab Golf Diraja Pahang, di sini.

Pertandingan kali pertama diadakan di negara ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada International Society of Arboriculture (ISA) dan diadakan selama tiga hari bermula esok.

Ia disertai 51 peserta tempatan dan antarabangsa yang bersaing menguji kebolehan masing-masing.

Juara kategori lelaki dan wanita layak secara automatik mewakili Asia Pasifik ke pertandingan memanjat pokok dunia yang akan diadakan di Amerika Syarikat tahun depan.

Pengarah Teknikal APTCC 2024, Saifful Pathil berkata, pemilihan Pahang sebagai tuan rumah pertandingan memanjat pokok Asia Pasifik dilakukan selepas mendapat sokongan padu daripada Majlis Biodiversiti Pahang.

Menurutnya, walaupun aktiviti memanjat pokok menggunakan tali dan pelbagai peralatan moden masih baru di negara ini namun peminatnya semakin bertambah apabila aktiviti promosi dilakukan secara berterusan.

Katanya, di peringkat antarabangsa, aktiviti memanjat pokok secara moden wujud kira-kira 100 tahun lalu.

"Pertandingan memanjat pokok boleh dijadikan produk pelancongan terutama di Pahang yang terkenal dengan hutan dan pelbagai spesies pokok balak bersaiz besar serta tinggi.

"Pertandingan memanjat pokok peringkat Asia Pasifik sebelum ini lebih tertumpu di New Zealand, namun kali ini Malaysia dipilih sebagai tuan rumah apabila usaha menawarkan diri sebagai lokasi penganjuran dilakukan sejak beberapa tahun lalu. Tahun lalu Singapura menjadi gelanggang acara berkenaan.

"Saya berharap peminat acara berkenaan tidak melepaskan peluang menyaksikan pertandingan yang turut disertai juara memanjat dunia, Barton Allen-Hall dari Australia," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, seramai lapan peserta termasuk dua wanita membawa cabaran pasukan negara, mereka kali pertama bertanding di pentas antarabangsa selepas memenangi pertandingan peringkat kebangsaan tahun lalu.

Saifful berkata, peserta antarabangsa daripada pasukan New Zealand, Australia, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea dan Singapura.

"Semua peserta bersaing dalam lima acara peringkat awal yang mempamerkan kecekapan, teknik dan kepantasan sambil menekankan kepentingan keselamatan dan penjagaan pokok yang betul.

"Lima pokok tembusu dengan ketinggian antara 15 hingga 25 meter disediakan, peserta perlu memanjat semua pokok berkenaan sambil melakukan aktiviti ditetapkan. Pemenang dikira mengikut kepantasan masa diambil.

"Lima peserta terbaik akan beraksi di pusingan akhir yang diadakan Ahad sebelum majlis penutup diadakan, juara lelaki dan wanita berpeluang bertanding di peringkat dunia tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 12:59 PM