Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bersama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman beramah mesra bersama jemaah di Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan Bagi Musim Haji 1445H/2024M di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Mohd Haris Fadli Mohd

Kuala Lumpur: Jemaah haji boleh menjalankan ibadah haji dengan tenang dan dinasihatkan supaya tidak khuatir dengan konflik peperangan yang berlaku di timur tengah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, keselamatan jemaah haji sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan Tabung Haji (TH).

"Jaminan daripada Kementerian Haji dan Umrah pada saya, mereka nak pastikan bahawa apa sahaja musibah yang berlaku, mereka ini sudah ada alternatif yang mereka akan lakukan.

"Apa yang penting untuk jemaah haji, dengan niat yang kita ada untuk menunaikan haji, kita sama-sama doakan Allah mudahkan dan beri keselamatan kepada kita," katanya kepada media selepas merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan, malam ini.

Kursus Perdana Haji yang diadakan bermula 20 April hingga 5 Mei di 17 lokasi seluruh negara memberi fokus kepada latihan

praktikal manasik haji seperti tawaf, sa'ie, berwukuf dan melontar jamrah, sekali gus memberi sedikit sebanyak gambaran suasana sebenar di tanah suci.

ANTARA peserta Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan
ANTARA peserta Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan

Menurutnya, pihaknya dan TH bekerjasama rapat dengan kerajaan Arab Saudi, bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan jemaah haji Malaysia terjamin.

Selain itu katanya kerajaan menerusi Kementerian Luar juga bekerjasama rapat bagi mendapatkan perkembangan terkini membabitkan konflik Iran-Israel yang kian meruncing ketika ini.

"Maklumat yang kita terima setakat ini keadaanterkawal jadi saya beri jaminankebajikan, keselamatan jemaah haji itu keutamaan kita, sama ada di peringkat kerajaan Arab Saudi, kerajaan Malaysia dan TH.

"Kita pastikan keselamatan jemaah haji terjamin dan TH serta kerajaan mengikuti rapat suasana di Timur Tengah dan kita akan memaklumkan kepada jemaah haji tentang perkembangan daripada semasa ke semasa," katanya.

Bakal jemaah haji membuat latihan simulasi tawaf dan sa'i dalam Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan.
Bakal jemaah haji membuat latihan simulasi tawaf dan sa'i dalam Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan.

Mohd Naim turut menasihatkan jemaah haji supaya bersabar dan mengawal tingkah laku ketika melakukan ibadah supaya mendapat haji yang Mabrur.

Mohd Naim berkata, seramai 600 petugas TH akan digerakkan ke Arab Saudi dalam usaha melancarkan urusan ibadah haji para jemaah kelak.

Katanya, kesemua petugas berkenaan terdiri daripada pelbagai peranan yang dilatih khas bagi membantu jemaah haji di Arab Saudi.

"Saya amat berharap para jemaah haji Malaysia sentiasa menjaga disiplin dan sentiasa patuh kepada peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi dan juga Tabung Haji.

"Petugas TH akan memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan jemaah haji tahun ini, mudah urusan mereka daripada semua aspek meliputi aspek ibadat, kesihatan dan kebajikan," katanya.

Bakal jemaah haji membuat latihan simulasi tawaf dan sa'i dalam Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan.
Bakal jemaah haji membuat latihan simulasi tawaf dan sa'i dalam Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 12:22 AM