FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis mengesan lelaki yang mengherdik dan mengugut jurutol dalam kejadian di Plaza Tol Segambut, Lebuhraya Duta–Ulu Klang (Duke), di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian daripada mangsa berusia 20 tahun pada 11.15 malam hari kejadian.

"Kejadian berlaku apabila suspek yang menaiki kereta Honda Civic tidak dapat melepasi palang tol memandangkan baki Touch n Go (TnG) tidak mencukupi.

"Suspek marah kemudian diberitahu oleh mangsa untuk membuat bayaran secara debit seperti diviralkan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti identiti suspek yang juga lelaki tempatan berusia 60 tahun selepas video kejadian tular.

"Pemeriksaan terhadap pemilik kenderaan didapati sama dengan identiti suspek yang dikenal pasti," katanya memaklumkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 4:52 PM