YANG di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Vanu di Istana Negara. FOTO Facebook Rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/RPO
YANG di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Vanu di Istana Negara. FOTO Facebook Rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/RPO
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon di Istana Negara.

Menurut catatan di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada pertemuan itu, pelbagai perkara dibincang membabitkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

Sehingga separuh pertama 2023, Singapura adalah rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia selepas China dengan nilai dagangan RM181.3 bilion, meningkat 6.1 peratus berbanding RM170.8 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2022.

Singapura juga adalah antara sumber utama Malaysia bagi pelaburan langsung asing dengan menyumbang 8.3 peratus kepada jumlah FDI Malaysia tahun lepas.

Pada Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman mengenai cadangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 9:02 PM