Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan dukacita di atas nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya, hari ini.

Menurutnya, peristiwa itu bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada keluarga mangsa, malah menyentuh hati dan perasaan seluruh rakyat Malaysia.

"Saya mengucapkan takziah buat semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut dan berharap mereka diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, TLDM sudah menyatakan bahawa satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan video kejadian demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa selain mengelak daripada mengganggu proses siasatan.

"Saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua perwira negara yang terbabit di dalam nahas ini.

"Segala jasa, bakti dan pengorbanan yang dicurahkan untuk melindungi kedaulatan tanah air pastinya akan terus dikenang. Semoga segala urusan dipermudahkan oleh-Nya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 5:17 PM